KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia mahu tindakan tegas diambil ke atas pihak yang melakukan penghinaan terhadap lambang kedaulatan negara, termasuk Jata Negara.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak semudah itu lafaz maaf boleh diterima setelah penghinaan terhadap negara diperlakukan sedemikian rupa.
“Kami baca kenyataan pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin yang dilaporkan Malaysiakini pagi ini, bahawa pihaknya tiada niat untuk menghina Jata Negara.
“Dia kata, walaupun tak sengaja, kalau sudah buat sesiapa rasa kurang senang, ada menyinggung perasaan mereka, itu saya minta maaf. Bagi Pemuda UMNO, ini bukan soal “sesiapa rasa kurang senang”.
“Malah, tidak semudah itu lafaz maaf boleh diterima setelah penghinaan terhadap lambang kedaulatan negara diperlakukan sebegitu rupa. Oleh itu, permohonan maaf tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan di sini.
Chong Ton Sin dalam kenyataannya kepada portal berkenaan, telah membuat permohonan maaf dengan menyatakan, pihaknya tiada niat untuk menghina lambang negara.
“Satu, kami memang tak sengaja mahu hina atau apa-apa. Kedua, walaupun kami tak sengaja, kalau sudah buat sesiapa rasa kurang senang, ada menyinggung perasaan mereka, itu saya minta maaf,” katanya.
Dr. Asyraf Wajdi mengingatkan individu terbabit, bahawa martabat dan maruah negara tidak sesekali boleh diperlekehkan sewenang-wenangnya.
Bahkan, katanya, undang-undang jelas memperuntukkan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pindaan 2016, yang mengenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk jata negara secara tidak wajar.
“Prinsip Undang-undang ada menyebut ‘Ignorantia Juris Non Excusat’ (Ignorance of the Law is No Excuse), bermaksud kejahilan terhadap undang-undang bukan suatu alasan,” katanya.
Sementara itu, Exco Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, perbuatan menghina Jata Negara adalah tindakan tidak patriotik dan tidak boleh dimaafkan kerana jelas mencabar perkara berkait kedaulatan negara.
Ujarnya, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan terperinci terhadap perbuatan itu dan tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang perlu diambil sekiranya terbukti bersalah.
“Walaupun penerbit buku itu telah tampil memohon maaf, kita tetap mahukan siasatan dan tindakan diambil jika terbukti berlaku perbuatan menghina Jata Negara.
“Perbuatan ini tidak boleh diselesaikan hanya dengan permohonan maaf saja. Ini soal simbol yang menjadi kedaulatan negara yang tidak seharusnya dihina ataupun dipersenda sebegitu rupa.
“Sebagai warganegara Malaysia, jata negara harus dihormati, bukan diperlecehkan meskipun sebagai cara untuk menyampaikan protes,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan