Khamis, 25 Jun 2020

Calon muslim mesti di kawasan majoriti Melayu, jangan serah pada MCA, MIC!

Aminuddin Yahaya


Gerakkan segala inisiatif demi agenda agama, bangsa dan negara

SEBELUM saya mengulas lanjut mengenai isu ini, berikut merupakan 3 kerusi yang dituntut oleh MIC (setakat ini):

1. Pasir Panjang (75% Melayu)
2. Behrang (62% Melayu)
3. Hutan Melintang (54% Melayu)

Saya semakin syak memang Pilihan Raya Umum sudah sangat dekat kerana masing-masing sudah mula tuntut-menuntut dan tawar-menawar kerusi untuk ditandingi pada PRU15 ini. Sebelum ini, MCA membuat ‘test water’ untuk menuntut kerusi Tanjung Malim dari UMNO yang juga dalam negeri Perak.

Saya pasti, ini merupakan perancangan rapi parti-parti bukan Melayu dalam Barisan Nasional (BN) untuk cepat-cepat ‘secure’ sebanyak mungkin kerusi majoriti Melayu sebelum UMNO berunding dengan BERSATU dan PAS.

Mengapakah kerusi majoriti Melayu? Semua orang tahu serta nampak dengan jelas bahawa MCA dan MIC selama ini dan akan selamanya menagih undi orang Melayu yang setia pada ‘lambang dacing’. Semua kerusi bukan majoriti Melayu yang mereka tandingi sebelum ini terbukti tidak berjaya dimenangi satu kerusi pun. Maka, mereka beralih perhatian kepada kerusi majoriti Melayu pula.

Saya mahu ingatkan lagi, dominasi suara kita dalam isu-isu Melayu dan Islam di Parlimen mahupun DUN semakin lemah kerana sekurang-kuranya dua faktor; semakin ramainya wakil rakyat Melayu yang apologetik dan semakin ramainya wakil rakyat bukan Islam.

Kedua-dua golongan ini akan sama ada berdiam diri, ataupun akan menentang agenda tersebut di sidang Parlimen atau DUN. Maka, formula mengetengahkan calon Muslim berwibawa dapat menyelesaikan kedua-dua masalah ini.

Seorang Muslim yang berwibawa pastinya lebih baik dari seorang Muslim yang apologetik dan malah jauh lebih baik dari seorang ‘kafir yang adil’. Seadil-adil seorang kafir itu, jika beliau berkata ‘tidak’ kepada agenda Islam dan Melayu sudah tentu ramai antara kita akan mengatakan itu adalah haknya sebagai seorang bukan Islam untuk tidak bersetuju. Maka, sudah pasti calon Muslim itu jauh lebih baik. Inilah tugas parti-parti Melayu untuk berbincang bagi mencalonkan calon Muslim yang terbaik untuk kawasan-kawasan majoriti Muslim.

Saya pasti bahawa parti-parti Melayu terutamanya UMNO tertekan dengan tuntutan-tuntutan ‘test water’ sebegini. Maka, menjadi tanggungjawab akar umbilah untuk bersuara melawan arus dan naratif ‘nakal’ MCA dan MIC ini.

Akar-akar umbi masyarakat Melayu adalah pengundi, maka anda berkuasa juga membuat tuntutan. Ini sama juga untuk pendukung parti-parti Melayu dalam PH seperti AMANAH dan PKR, itu pun jika mereka kisah mengenai isu ‘dominasi’ ini.

Saya menyeru agar rakyat di akar umbi terutamanya di kawasan majoriti Melayu supaya berpakat-pakat antara satu sama lain agar parti-parti politik Melayu meletakkan calon-calon Muslim dalam PRU15. Gerakkan persatuan dan NGO yang ada di akar-akar umbi untuk tujuan ini. Gerakkan juga kempen daftar mengundi terutamanya dalam kalangan anak muda.

Masa untuk berdiam diri pada isu politik sudah berakhir, kerana berdiam diri hanya akan mengundang kerosakan akibat langkah-langkah yang sumbang pemimpin yang sombong kerana tidak ditegur dan dibetulkan. Ayuh cakna, ayuh gerakkan segala inisiatif di akar umbi masyarakat demi agenda agama, bangsa dan negara merentas kerangka parti politik semata-mata.

* Aminuddin Yahaya -Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Tiada ulasan: