Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman berkata tidak benar tanggapan bahawa menyokong kerajaan PN seolah sama dengan menyokong bekas perdana menteri Najib Razak.
"Dan adalah tidak benar jika pihak Tun (Mahathir) menganggap mereka yang sokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin pada hari ini seolah-olah menyokong Najib atau pihak yang Tun anggap sebagai kleptokrat," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.
Faiz hari ini memaklumkan dirinya ada menerima sepucuk surat daripada pengerusi Bersatu yang dipertikaikan, Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Muhammad Faiz dalam surat yang dikatakan daripada bekas perdana menteri itu, Mahathir menyatakan kesedihannya dengan apa yang berlaku dalam Bersatu, hari ini.
"Saya ingin menyatakan kesedihan saya kerana kita bersama-sama berikrar untuk jatuhkan kerajaan kleptokratik Najib, tetapi hari ini parti kita menyebelahi Najib," kata Mahathir dalam surat yang di emelkan kepada Muhammad Faiz.
Surat tersebut diterima Muhammad Faiz pada 23 Jun lalu.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, beliau menghargai ingatan anggota parlimen Langkawi itu kepada dirinya.
Tegasnya, dirinya juga mengakui pernah mempunyai ikrar yang sama sewaktu pilihan raya umum ke 14 lalu.
Bagaimanapun, kata Faiz selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya menjatuhkan kerajaan Umno-BN mereka yang terlibat dalam salah laku jenayah sudah pun didakwa.
"Ya, benar kita mempunyai ikrar yang sama ketika menghadapi PRU ke-14 lalu. Prinsip anti rasuah, anti salah guna kuasa dan anti jenayah tidak pernah saya tinggalkan.
"Namun setelah mereka yang terlibat itu sedang menghadapi pendakwaan di mahkamah, maka saya anggap kita telah pun memenuhi objektif perjuangan kita tersebut setakat yang termampu," katanya lagi.
"Bukan parti politik, bukan perdana menteri, dan juga bukan media massa atau media sosial. Itulah prinsip "Rule of Law" yang Tun (Mahathir) sendiri sering war-warkan.
"Dan saya percaya mahkamah kita terutama para hakim bebas dari campurtangan orang-orang politik sepertimana yang kita belajar mengenai pemisahan kuasa dalam pentadbiran negara," katanya.
Muhammad Faiz berkata, jika persepsi tersebut cuba diubah, maka beliau percaya rakyat akan mula mempersoalkan pula keputusan-keputusan mahkamah pentadbiran kerajaan terdahulu.
Tak nafi jasa Tun, tapi PH...
"Jika ada tuduhan kononnya keputusan mahkamah boleh dipengaruhi oleh pihak yang berkuasa dalam kerajaan, maka bukti sahih perlu dikemukakan bahawa seseorang hakim itu korup," jelasnya.
Katanya, sesungguhnya pembentukan kerajaan PN pada hari ini adalah hasil peristiwa yang tidak diduga dan terjadi dengan pantas setelah Tun meletakkan jawatan selaku perdana menteri ketujuh.
"Ia juga manifestasi bahawa majoriti rakyat terutama Melayu-Islam-Bumiputera telah serik melihat drama politik dalaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak sunyi dari desakan agar Tun (Mahathir) memberi laluan kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri kesembilan.
"Dan yang paling utama, muslim di negara ini selaku kelompok pengundi majoriti tidak dapat menerima ideologi serta keceluparan beberapa pemimpin DAP yang banyak menyentuh sensitiviti ketika mereka berkuasa dalam kerajaan PH dahulu," dakwanya.
Tambahnya, Mahathir juga boleh menilai respon terkini warga maya apabila menyentuh hal politik nasional.
"Respon terkini warganet di media sosial adalah sebagai cerminan respon majoriti rakyat di bawah sana.
"Akhir kata saya masih menghormati yang berbahagia Tun (Mahathir) selaku tokoh idola pejuang Melayu sejak zaman saya belajar lagi.
"Jasa Tun (Mahathir) terhadap negara tidak dapat dinafikan. Namun demi agenda ummah yang lebih besar dan masa hadapan, maka saya memilih penyatuan kembali bangsa kita melalui PN. Insya-Allah," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan