Isnin, 29 Jun 2020

Chini bakal terima pusat dialisis

Muhammad Azizul Osman
MGF290620_Menteri-Kesihatan-Lawat-Klinik-Chini_07-681x454
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (tengah) bertanyakan sesuatu
dengan seorang pesakit semasa membuat lawatan kerja sempena Pilihan Raya
Kecil N.23 Chini di Klinik Kesihatan Bandar Dara Chini, Pahang. foto SYAFIQ
AMBAK,

CHINI – Setelah menerima pelbagai rungutan daripada masyarakat khususnya pesakit buah pinggang, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akhirnya memutuskan untuk mewujudkan sebuah pusat hemodialisis bagi penduduk Chini.

Menterinya, Datuk Dr Adham Baba berkata, terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan pusat hemodialisis di kawasan ini memandangkan pesakit terpaksa melakukan perjalanan sejauh 80 kilometer untuk ke Pekan atau Muadzam bagi mendapatkan rawatan tersebut.

“Kita lihat sekurang-kurangnya 10 mesin boleh diletakkan di pusat hemodialisis di sini melihatkan peruntukan tidak sampai RM2 juta.

“Kita gunakan peruntukan yang KKM ada sebagai keutamaan,” katanya sempena lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Chini, hari ini.

Untuk rekod, Chini akan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 4 Julai depan.

Adham berkata, untuk mewujudkan pusat tersebut, Klinik Kesihatan Chini juga perlu diubahsuai bagi menampung kepadatan pesakit yang boleh mencecah 350 orang sehari.

Selain itu, satu pusat rawatan kecemasan juga akan turut dibuka di kawasan ini tidak lama lagi.

“Kita perlu merujuk kepada keperluan rawatan kecemasan yang diperlukan termasuk jumlah katil untuk diletakkan disini.

“Klinik ini juga perlu kemudahan radiologi untuk mesin X-ray dan juga pelaksanaannya untuk membantu diagnosis.

“Memandangkan bangunan ini mungkin sudah lama, kita perlu melihat kepada keadaan pendawaian untuk sumber tenaga elektrik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Adham turut merafak sembah terima kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang berkenan membiayai kos membaik pulih Wad Perubatan Perempuan 1 Hospital Sultanah Aminah (HSA), yang terbakar petang semalam.

“Saya merafak sembah terima kasih kepada Sultan Johor yang berkenan untuk membantu membaik pulih dengan cepat.

“Kalau mengikut proses KKM mungkin mengambil masa yang lama dan perintah Tuanku untuk tiga pihak ini duduk berbincang melakukan pelan terbaik.

“Saya telah lawat hospital itu dan ada sedikit sebanyak perkara yang perlu dibuat terutamanya sekali kompleks yang terbakar itu perlu dibuat pendawaian semula dan ditambahbaik sistem untuk meletakan pesakit,” ujar beliau.

Adham berkata, KKM akan memantau sistem pendawaian di seluruh bangunan milik kementerian itu di seluruh negara bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Wad Perubatan Perempuan 1 HSA terbakar kira-kira jam 2.50 petang semalam, namun ia tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: