Sabtu, 13 Jun 2020

Pesakit Covid-19 tidak boleh sebar jangkitan selepas sembuh, kata Noor Hisham

Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun pesakit dikesan positif
Covid-19, namun mereka tidak bergejala, tidak jatuh sakit atau menyebarkan penyakit itu
kepada orang lain.

PUTRAJAYA: Pemantauan yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati pesakit Covid-19 yang sudah sembuh masih kekal menunjukkan keputusan positif dalam jangka masa yang panjang, walaupun tidak boleh mengjangkiti orang lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian rt-PCR sememangnya sangat sensitif dalam mengesan kehadiran protein virus.

Katanya, walaupun pesakit itu dikesan positif, namun mereka tidak bergejala, tidak jatuh sakit atau menyebarkan penyakit itu kepada orang lain.

“Ujin rt-PCR COVID-19 bagi kebanyakan pesakit yang telah sembuh masih kekal menunjukkan keputusan yang positif dalam jangka masa yang panjang. Ujian rt-PCR sememangnya sangat sensitif dalam mengesan kehadiran protein virus.

“Walaupun mereka masih dikesan positif, namun mereka tidak bergejala, tidak jatuh sakit atau menyebarkan penyakit ini kepada keluarga terdekat. Hasil kajian kultur yang dilakukan berulang kali menunjukkan virus Covid-19 gagal dibiakkan.

“Justeru, KKM membuat kesimpulan bahawa keputusan positif Covid-19 bagi pesakit yang sudah sembuh adalah berpunca daripada virus atau fragmen virus (deoxyribonucleic acid atau DNA) yang sudah mati.

“Penemuan serupa turut dilaporkan di beberapa negara, termasuk Korea, China, Singapura dan Jerman.

“Kajian di China menunjukkan kebolehjangkitan berlaku 2.3 hari sebelum bermula gejala dan berada pada tahap tertinggi 0.7 hari sebelum pesakit menunjukkan gejala.

“Kebolehjangkitan menurun ke tahap yang sangat rendah selepas 7 hari, manakala satu kajian lagi di Taiwan mendapati selepas 5 hari pesakit dijangkiti COVID- 19, mereka tidak menyebarkan jangkitan kepada kontak rapat yang terdedah kepada pesakit,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain Noor Hisham berkata, KKM menetapkan prosedur bahawa setiap pesakit yang akan menjalani pembedahan, perlu melalui ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

Katanya, langkah itu penting untuk melindungi semua petugas kesihatan, terutama doktor dan kakitangan terbabit pembedahan berkenaan.

“Penting untuk doktor mengetahui status pesakit, sama ada positif atau negatif Covid-19.

“Petugas kesihatan, khasnya doktor dan yang lain, juga diwajibkan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sebelum pembedahan dilakukan bagi melindungi mereka daripada dijangkit virus itu,” katanya.

Tiada ulasan: