PETALING JAYA: Pembentangan Rancangan Malaysia ke-12, yang pada mulanya dijadualkan pada 6 Ogos ditunda ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian, kata speaker Dewan Rakyat Mohammad Ariff Md Yusof.
Dalam satu kenyataan, Ariff berkata, penangguhan itu dibuat berikutan wabak Covid-19 yang memberi kesan ke atas ekonomi negara.
Beliau berkata, penangguhan itu juga membolehkan kerajaan menjalankan kajian lanjut dan mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh berkaitan.
“Ia ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditentukan oleh kerajaan kelak,” katanya.
Dalam pada itu sesi ke-2 Dewan Rakyat akan diadakan selama 25 hari dari 13 Julai hingga 27 Ogos dan antara lain akan menyaksikan usul menjunjung kasih dan perbahasan Titah di-Raja.
Dilaporkan sebelum ini bahawa sesi ke-2 persidangan pada asalnya dijadualkan selama 15 hari.
Justeru, sesi ke-3 dijadualkan bermula pada 2 November hingga 15 Disember.
Ariff berkata, belanjawan negara akan dibentangkan pada 6 November, bukannya 2 Oktober.
“Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin akan mengeluarkan notis kepada semua ahli Parlimen.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan