Selasa, 19 Mei 2020

Sanusi kena fokus isu rakyat miskin tegar, rantaian makanan, krisis air

Siti Hafidah


Ramai terjejas sehingga sukar untuk terus kelangsungan hidup


BANGI– Kerajaan Kedah pimpinan Muhammad Sanusi Md Nor perlu mendapatkan kembali sokongan masyarakat umum, terutama mereka yang berasakan kepentingan awam sering terabai berikutan ahli politik terlalu sibuk berpolitik.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, usaha membantu semua masyarakat perlu diberi tumpuan dan kerjasama daripada pegawai kerajaan negeri perlu ditingkatkan kerana jentera pentadbiran efisien memudahkan kerajaan negeri untuk memberi perkhidmatan kepada mereka.

Katanya, sebagai Menteri Besar baharu, Muhammad Sanusi pasti akan berdepan pelbagai cabaran, terutamanya ketika penularan wabak COVID-19.

“Walaupun Kedah dikenal pasti sebagai Zon Hijau, impak krisis ini sangat besar, terutama terhadap sosioekonomi negeri.

“Sebagai antara negeri mempunyai ramai penduduk miskin dan miskin tegar di luar bandar seperti Sik, Baling dan Padang Terap, kerajaan perlu meningkatkan usaha membantu anggota masyarakat yang terjejas teruk kerana tidak dapat bekerja atau kehilangan kerja.

Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.

“Ramai mereka ini peniaga kecil, petani, pesawah dan pekebun kecil yang hanya bergantung pendapatan terhadap hasil padi, getah, kelapa sawit atau buah-buahan. Apabila mereka hilang pendapatan, keadaan hidup sangat terjejas hingga sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya menulis di Berita Harian.

Dr Ahmad Martadha berkata, meskipun bantuan Kerajaan Persekutuan disampaikan, ia pasti tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian penduduk.

“Justeru, isu inilah perlu menjadi fokus utama kerajaan pimpinan Muhammad Sanusi terutama ketika umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Selain itu, krisis dalam sekuriti makanan terutama meneliti tahap kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam memastikan keperluan asas pemakanan adalah mencukupi perlu kepada tindakan bersepadu semua pihak.

“Aspek rantaian makanan perlu dititikberatkan bagi memastikan Kedah tidak akan terjejas teruk sekiranya bekalan makanan terputus akibat kenaikan harga barangan atau kegagalan negara pengimport makanan untuk menghantar bekalan makanan,” katanya.

Di samping itu katanya, cabaran besar yang menunggu Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri ialah menyelesaikan krisis air yang membelenggu negeri itu sejak sekian lama.

“Pelbagai usaha dibuat, namun krisis air masih antara isu paling kerap dibangkitkan masyarakat setempat,” katanya.

Terdahulu, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenan pelantikan Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah ke-14.

Pelantikan itu dibuat mengikut peruntukan di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah selepas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).


Tiada ulasan: