Selasa, 19 Mei 2020

Kerajaan baru Kedah: ISMA tawar kerjasama bangun ekonomi Islam

ainulillia


Perkasa agenda Melayu Islam, jadikan NGO rakan kerjasama strategik


BANGI – Pentadbiran baharu kerajaan negeri Kedah diingatkan supaya memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat dan bukan berhasrat menghapuskan parti lawan semata-mata. 

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berharap, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang baru dilantik akan mentadbir serta memimpin negeri dengan lebih baik dan telus.

Beliau juga diharapkan dapat memperkasakan lagi agenda-agenda Islam dan bangsa Melayu khususnya di negeri Kedah Darul Aman.

“Jangan ulangi kesilapan kerajaan terdahulu, baik pada zaman Pakatan Rakyat, Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat dan mula bekerja keras membangunkan negeri Kedah dengan bersungguh-sungguh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Aminuddin turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan mahu negeri Kedah sentiasa terbuka kepada sebarang kerjasama dalam konteks masyarakat Islam dan Melayu.

“Kami, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang mempunyai cawangan-cawangan dan capaian-capaian yang meluas dan kuat di negeri Kedah akan sentiasa menjadi pemantau kepada perjalanan pentadbiran negeri Kedah.

“… serta sentiasa bersedia dan berbesar hati untuk menawarkan bakti kami untuk sama-sama membangunkan negeri Kedah terutamanya dalam konteks masyarakat Islam dan Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri Kedah yang baharu ini juga diminta agar tidak mengabaikan peranan NGO dan menjadikan NGO sebagai rakan kerjasama strategik bagi membangunkan negeri.

“Banyak bidang yang boleh kita usahakan bersama terutamanya dalam membangunkan ekonomi umat Islam khususnya memperkasakan Kempen Beli Produk Muslim (BMF) di peringkat negeri Kedah secara rasmi.

“Akhir sekali, kita mendoakan agar negeri Kedah akan dapat ditadbir dengan cemerlang yang akhirnya memberi manfaat yang melimpah ruah kepada rakyat. Insya-Allah,” katanya.

Semalam, Muhammad Sanusi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah baharu hari ini di Wisma Darul Aman selepas Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenankan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Jeneri itu sebagai Menteri Besar.

Sultan Kedah memberi perkenan pelantikan Muhammad Sanusi sebagai menteri besar baharu selepas mendapat majoriti ADUN mengikut peruntukan di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah

Tiada ulasan: