Selasa, 5 Mei 2020

PKR Sabah pecat 7, gantung 63 ahli

PKR memulakan langkah menyingkirkan individu yang dikatakan 
menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PH pada Februari lalu.
 
KOTA KINABALU: PKR Sabah memecat 7 ahlinya dan menggantung 63 yang lain ketika parti itu memulakan inisiatif di seluruh negara untuk menyingkirkan individu yang dikatakan menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu.

Ketua Biro Disiplin PKR Sabah, Sazalye Donol berkata individu yang dipecat itu termasuk beberapa ketua Pemuda negeri, manakala Ketua PKR Bahagian Kudat, Rahimah Majid antara yang digantung.

“PKR yakin selepas pembersihan ini, parti lebih kuat dan boleh melaksanakan agenda reformasinya.”
Beliau berkata, Biro Disiplin Sabah sedang mengenal pasti lebih ramai pemimpin dan ahli yang dianggap terbabit dalam kejatuhan kerajaan PH.

Rahimah antara 9 ketua bahagian yang sebelum ini didakwa memihak kepada bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Ketua bahagian lain termasuk Roland Chia (Sepanggar), Kong Hong Ming (Tawau), Amir Pawennari (Kalabakan), Jaffari Wiliam (Libaran), Jonathan Yasin (Ranau), Aslan Kansut (Tenom), Pagrios @ Petrus Zabang (Beluran) dan Haris Tupang (Silam).

Jonathan meninggalkan PKR ketika krisis politik itu berlaku dan dilantik ke Kabinet Perikatan Nasional sebagai timbalan menteri dalam negeri.

Semalam, PKR mengumumkan 348 ahli dipecat, manakala 285 lagi digantung keahlian kerana melanggar peraturan parti.

Antaranya Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis dan Adun Batu Lintang, See Chee How.

Tiada ulasan: