Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, berdasarkan laporan yang diterima, purata peratusan kehadiran penjawat awam ke pejabat antara 15% hingga 35%.
“Ini berdasarkan catatan kehadiran semasa yang dilaporkan oleh kementerian atau jabatan masing-masing.
“Sebagai contoh, antara laporan kehadiran yang dilaporkan daripada kementerian atau jabatan seperti berikut; Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sebanyak 15%; Mampu (24%); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (29%); Kementerian Pengangkutan (27%); Unit Perancang Ekonomi (28%); Kementerian Dalam Negeri (38%); Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (20%); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (28.18%); Kementerian Pertahanan (27.48%); Kementerian Pengajian Tinggi (35.01%); Kementerian Kerja Raya (30%) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (15%).
“Peratusan kehadiran ini akan berubah-ubah mengikut masa dan keperluan tanpa menjejaskan prinsip asas dan objektifnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul berkata, berdasarkan data pelaporan peratusan yang diterima ini jelas menunjukkan walaupun pejabat kerajaan mula beroperasi sepenuhnya pada 4 Mei, namun pendekatan yang diambil ketua jabatan meminimumkan kehadiran penjawat awam ke pejabat dengan opsyen bekerja dari rumah.
Katanya, semua kementerian atau jabatan diarahkan supaya memastikan sistem penyampaian kerajaan berfungsi sepenuhnya.
“Budi bicara ketua jabatan dalam menguruskan sumber manusia di pejabat masing-masing dibenarkan dalam memastikan sistem penggiliran atau mereka yang diminta bekerja dari rumah dapat dikawal selia bagi menjamin penyampaian perkhidmatan yang berterusan,” katanya.
Semalam, Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata lebih 60% penjawat awam hadir ke pejabat pada hari pertama perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, hasil tinjauan kesatuan itu mendapati kehadiran ramai kehadiran penjawat awam ke pejabat kerajaan, menunjukkan kegagalan ketua jabatan mengawal pergerakan minimum kakitangan awam seperti disarankan perdana menteri Muhyiddin Yassin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan