KUALA LUMPUR – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Dewan Rakyat dipercayai penyebab utama tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah hari ini.
Bekas Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerima tempias perbuatan ayahnya sendiri yang dilihat boleh memalukan Istana Negara.
“Takkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) nak lantik Tun Mahathir (sebagai Perdana Menteri) sebab baginda sendiri tak lantik dia dulu, tapi lantik Tan Sri Muhyiddin.
“Memandangkan YDPA yang sama, baginda pun ada maruah dia, Agong dah tak nak beliau hari itu, Agong lantik Tan Sri Muhyiddin, beliau tak percaya.
“Agong nak lantik dia balik, Agong pun ada maruah diri,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau mengulas tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR Kedah, keluar parti iaitu ADUN Sidam, Dr. Robert Ling Kui Ee dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin, tengah hari ini.
Kedua-dua ADUN itu telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membuat keputusan keluar dari parti itu berkuatkuasa serta merta.
Sebaliknya mereka berikrar memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahmad Atory juga tidak menolak kemungkinan keretakan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyebabkan dua ADUN PKR Kedah itu hilang kepercayaan terhadap Mukhriz sendiri.
“Memang orang kita (Melayu) lihat itu juga (masalah dalaman) faktor berpecah-belah ini kerana ayah dia sendiri.
“Akan ada titik noktah pada sidang Dewan Rakyat pada Julai nanti. Kalau menang (undi percaya Muhyiddin), Bersatu tiada susah lagi nak bergerak.
“Kalau Tan Sri Muhyiddin kalah, dia akan membubarkan Parlimen. Dia tidak akan benarkan Tun Mahathir jadi Perdana Menteri lagi dan dia akan nasihatkan Agong,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan