Isnin, 18 Mei 2020

MB baru ikrar jadikan Kedah ‘periuk nasi’ Malaysia


Muhammad Sanusi Md Nor mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah di depan Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. (Gambar Istana Kedah)

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah yang baru, Muhammad Sanusi Md Nor berikrar menyingkirkan imej “negeri termiskin” dengan mengambil langkah drastik membasmi kemiskinan dan memfokuskan ekonomi berasaskan pertanian.

Katanya, Kedah di bawah kepimpinannya akan menjadi negeri jaminan keselamatan makanan yang mampu memenuhi permintaan seluruh negara dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan makanan.

Beliau juga akan menumpukan perhatian untuk menyediakan bekalan air bersih, internet berkelajuan tinggi dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya.

“Kami akan bekerja keras untuk menangani isu yang membelenggu kami selama ini. Kami juga berharap untuk mendapat maklum balas membina daripada semua,” katanya pada sidang media pertamanya selepas dilantik menjadi menteri besar Kedah hari ini.

Sanusi berkata, beliau akan “menekan butang set semula” bagi projek pembangunan tertentu di bawah kerajaan terdahulu, selain melaksanakan “projek penting” dan menambah baik projek lain.

Muhammad Sanusi Md Nor (kiri) dalam sidang media pertamanya di Wisma Darul Aman,
Alor Setar, Kedah. Turut hadir pegawai kewangan negeri, Isahak Murat. (Gambar Istana
Kedah)

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pemimpin Perikatan Nasional, termasuk Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui Kedah.

“Kerajaan Kedah komited untuk bekerjasama dengan perdana menteri, Kabinetnya dan jentera persekutuan.

“Kami mahu menyelesaikan isu dan memenuhi keperluan rakyat.”

Katanya, beliau akan memilih barisan exconya dalam masa terdekat.

Sanusi turut mengucapkan terima kasih kepada Mukhriz Mahathir atas sumbangannya dan kerjasama dalam memastikan peralihan kerajaan negeri yang lancar.

Mengenai sokongan PAS Kedah kepada Mukhriz sebagai MB sebelum ini, Sanusi berkata, ia adalah jangka masa berbeza.

“Masa itu, saya pergi berjumpanya dan memberi sokongan kepadanya untuk menjadi MB. Saya berbuat demikian supaya beliau dapat mengelakkan pertembungan politik yang akan merugikan rakyat. Hubungan (dengan kerajaan persekutuan) mula berubah ketika itu.

“Kita perlu sedar yang perubahan kerajaan ini bukan daripada PAS, tetapi daripada Pakatan Harapan sendiri,” katanya merujuk 2 wakil rakyat PKR, iaitu Adun Sidam, Robert Ling dan Adun Lunas, Azman Nasrudin yang keluar parti Selasa lalu serta menyokong PN.

Tindakan 2 Adun itu serta 4 lagi Adun PPBM yang menyokong PN menyebabkan ia mendapat sokongan 23 daripada 36 wakil rakyat.

Susulan itu, Mukhriz meletak jawatan sebagai menteri besar selepas hilang sokongan majoriti


Tiada ulasan: