Isnin, 18 Mei 2020

Plasma darah digunakan bila perlu

Mohd Firdaus Ibrahim dan Amir Abd Hamid dan Sri Ayu Kartika Amri

DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Luqman Hakim Zubir

SEBANYAK 22 pek plasma darah didermakan bekas pesakit Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih belum digunakan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan ketika ini belum ada keperluan untuk plasma berkenaan digunakan.

Beliau berkata, setakat ini sembilan bekas pesakit sudah tampil mendermakan plasma masing-masing termasuk tiga daripada mereka yang menderma sebanyak dua kali.

"Kita sudah ada bekalan plasma tetapi tidak digunakan setakat ini dan sekiranya ada keperluan kita akan gunakan.

"Kita sudah salurkan plasma ini bukan sahaja di Kuala Lumpur tapi Kuching, Sarawak dan Sabah tapi isunya bila kita boleh gunakan.

"Kita ada kapasiti tapi jika ada indikasi untuk digunakan, kita akan gunakan terutamanya kepada pesakit yang mempunyai respon imun yang rendah," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, plasma daripada bekas pesakit Covid-19 itu mempunyai tindak balas tinggi antibodi.

"Kami juga sudah dimaklumkan terdapat 10 bekas pesakit lagi bersedia tampil untuk menderma plasma.

"Bagaimanapun mereka akan disaring semula sebelum kita mengambil plasma mereka yang akan digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 jika diperlukan," katanya.


Tiada ulasan: