Nilai semula hukuman pemandu mabuk, tuntut syarikat arak tanggungjawab
BANGI
– Jika satu nyawa diragut akibat wabak pandemik COVID-19 sangat
bermakna buat negara, bagaimana pula dengan mereka yang menjadi korban
kerana pemandu mabuk?
Demikian
kekesalan yang diluahkan Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA),
Hazwan Mohamad susulan satu lagi laporan kemalangan yang mengorbankan
anggota polis awal pagi ini, akibat dilanggar pemandu mabuk.
Beliau berkata, insiden seumpama ini bukanlah pertama kali berlaku, bahkan sudah beratus nyawa sudah hilang akibat isu sama.
“Geram
baca berita seorang anggota polis maut dilanggar pemandu mabuk semalam.
Ironinya, ini bukan kali pertama. Kata PM, satu nyawa diragut wabak
COVID-19 amat bermakna buat negara.
“Bagaimana
pula dengan nyawa yang diragut pemandu mabuk? Kita yang baca sakit
hati, apalah perasaan keluarga yang menanggung,” katanya.
Beliau
menegaskan, sudah tiba masanya hukuman ke atas pemandu mabuk dinilai
semula, selain menuntut industri arak supaya turut bertanggungjawab.
“Sudahlah
berkorban siang malam sebagai barisan hadapan, hadiahnya sekujur tubuh
dibawa pulang ke pangkuan keluarga hanya dek kerana celakanya sang
pemabuk,” katanya.
Terdahulu,
seorang anggota polis maut dirempuh dan dihempap sebuah pacuan empat
roda ketika sedang bertugas dalam sekatan jalan raya Ops COVID-19
susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal pagi ini.
Dalam
kejadian jam 3 pagi tadi, mangsa, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang
juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dirempuh berhampiran
Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Selangor.
Kemalangan menyebabkan mangsa berusia 31 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak maut serta merta di lokasi kejadian.
Difahamkan
mangsa dirempuh pacuan empat roda model Toyota Hilux dipandu seorang
lelaki tempatan berusia 44 tahun dipercayai dalam keadaan mabuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan