Sabtu, 23 Mei 2020

Harga minyak sawit dijangka kembali mengukuh - MPOB

Harga minyak sawit dijangka kembali mengukuh - MPOB
Peningkatan harga pasti melegakan puluhan ribu pekebun kecil, malah menguntungkan pihak industri yang terkesan ekoran jumlah eksport menyusut beberapa bulan lalu. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mampu mencecah jualan RM2,300-RM2,400 bagi satu tan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, peningkatan itu pasti melegakan puluhan ribu pekebun kecil, malah menguntungkan pihak industri yang terkesan ekoran jumlah eksport menyusut beberapa bulan lalu.

“Saya berharap harga sawit ini akan terus melambung tinggi supaya hasil yang lebih ini dapat dimanfaatkan terutama kepada pekebun-pekebun sawit di Malaysia.

“Perkembangan positif ini juga akan membantu menampung perbelanjaan keluarga ketika negara di landa pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

BACA: Harga minyak sawit dijangka kembali kukuh susulan import semula oleh India

BACA: 
India kembali beli minyak sawit dari Malaysia

Sebelum ini, harga minyak sawit terendah pernah dicatatkan pada Disember 2018 iaitu sebanyak RM1,794.50 satu tan dan RM1,879.00 satu tan (Julai 2019) bagi tempoh 2016-2019.

Ahmad Jazlan berkata, perkembangan itu pastinya amat mengembirakan MPOB dan kerajaan kerana komoditi sawit juga turut menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.76 peratus yang berjumlah 64.84 bilion.

Dalam perkembangan berasingan, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan India kerana tidak melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit ditapis yang sekaligus membantu meningkatkan ekspot Malaysia ke negara berkenaan.

“Kenaikan harga ini berlaku berikutan daripada hubungan diplomatik Malaysia-India semakin baik di bawah pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas kerajaan Perikatan Nasional yang mengambil alih tampuk pimpinan sejak Mac 2020,” katanya.


Tiada ulasan: