Jumaat, 8 Mei 2020

'Dr Erin' tak sampai hati tengok Dai Farhan jauh dari anak

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Peserta rancangan realiti TV, Da’i Farhan, sah sudah bercerai dengan isterinya Noorainul Naqim Mohd. Radzi - atau Dr Erin - atas alasan demi anak-anak.
Mendedahkan hal itu di Instagram, Noorainul berkata, mereka berpisah pada 27 April lalu.

Katanya dia tidak sampai hati melihat Farhan berpisah lama dengan anak-anaknya hasil perkahwinan terdahulu pendakwah selebriti terbabit selain demi kebaikan bekas madunya, Fatin Nurul Ain.

Menurut Noorainul, disebabkan terlalu sayang kepada Farhan dia merelakan perceraian selepas pihak bekas madunya menetapkan syarat untuk juara Da'i musim kedua itu mahu berjumpa anak-anak mereka.

“Pada 11 Februari lalu saya mengizinkan ustaz (Farhan) untuk kembali dengan bekas isterinya kerana selepas pulang daripada berjumpa anak-anak, dia cakap pada saya, dia tak boleh berjauhan daripada mereka. Dia kata pihak sana bagi syarat kalau nak duduk dengan anak.


“Sebab terlalu sayangkan ustaz, saya cakap kepadanya bawa saya balik berjumpa mentua dan bekas madu untuk saya sendiri serahkan dia semula. Janji suami dapat bersama dengan anak-anaknya.

"Untuk pengetahuan semua, ustaz sudah melafazkan cerai terhadap saya pada 27 April lalu selepas saya sendiri meminta untuk dilepaskan. Saya yakin ini yang terbaik untuk kami bertiga,” katanya.

Menurut Noorainul, pada peringkat awal dia berhasrat untuk meminta cerai daripad Farhan pada Februari, bagaimanapun muncul beberapa kekangan termasuk mendapati dirinya sudah berbadan dua.

Harap dapat bawa ke syurga

"Jika diikutkan Februari lalu dia sudah minta untuk diceraikan, namun ada sahaja halangan sehinggalah mendapat perkhabaran sudah hamil baru- baru ini.

"Saya reda jika ini ujian saya untuk kehilangan orang yang saya sayang daripada tengok dia susah hati dan rindu dengan anak-anak. Lebih baik saya mengalah.

"Sejak bulan Februari lagi sudah tidak mengharapkan apa-apa daripada dia dan hanya tunggu masa nak diceraikan saja.

"Saya nekad dengan keputusan saya untuk mengakhirinya," katanya.

Pada masa sama, Noorainul meminta supaya dirinya tidak lagi dikaitkan dengan Farhan serta memohon maaf kepada mana-mana yang pernah dilukai sepanjang melayari bahtera perkahwinannya sebelum ini.
"Saya harap selepas ini tolong jangan dikaitkan apa-apa dengan ustaz. Biarlah ustaz jalani kehidupan dia seperti biasa dengan ketenangan dan kebaikan.

"Apa-apa saya yang buat atau kongsikan di media sosial adalah atas diri saya sendiri yang hina, baru nak dapat hidayah ini sememangnya tak layak dengan golongan agamawan.

"Saya ingin meminta maaf kepada sesiapa yang terguris hati dan terkesan atas pernikahan saya dengannya. Saya tak minta jadi macam ni.

"Saya terima lamarannya dulu kerana ilmu agama dan kebaikan yang saya nampak dalam dirinya ketika itu. Saya sangat harap ustaz boleh bawa saya ke syurga," katanya.

Terdahulu, media melaporkan pernikahan Farhan - atau nama sebenarnya Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad - dengan Noorainul di Mekah pada Nov tahun lalu mengundang perhatian umum apabila ia didakwa dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertama.

Farhan, 30, juga sebelum itu berkata, terdapat 18 wanita pernah mengajaknya berkahwin tetapi terpaksa menolak kesemuanya sehinggalah dia tidak mempunyai kekuatan untuk menolak jodoh dengan Noorainul.

Farhan kemudian mengambil keputusan menceraikan isteri pertamanya yang ketika itu sarat mengandung anak kedua mereka. Cerai itu dilafazkan menerusi rakaman suara di aplikasi WhatsApp pada 3 Disember tahun lalu.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Farhan bagi mengulas lanjut isu berkenaan.

Tiada ulasan: