Rabu, 5 Februari 2020

Selepas kalah PRK, kredibiliti ketua PPBM Tg Piai mula dipertikai

Karmaine Sardini (baju putih) memakaikan pin kepada pengundi 
ketika berkempen untuk PRK Tanjung Piai pada Nov lalu.

PETALING JAYA: Bekas calon PPBM yang bertanding dalam pilihan raya kecil baru-baru ini mengakui wujud suara-suara dari akar umbi yang mula mempertikaikan kredibiliti kepimpinannya, selepas tewas kepada calon Barisan Nasional di Parlimen Tanjung Piai, Nov lalu.

Karmaine Sardini yang merupakan ketua PPBM bahagian Tanjung Piai berkata, beliau sedia mempertahankan kedudukannya walaupun pada ketika ini dicabar 2 individu lain yang berhasrat merampas jawatan itu.

“Saya akan bertanding, sebelum ini saya bertindak sebagai penaja parti dan ini pula merupakan kali pertama pemilihan parti diadakan, maka saya akan terus bertanding. Kalah atau menang itu soal lain, saya akui ada pencabar, namun ia perkara biasa.

“Memang kekalahan saya tempoh hari dijadikan sebagai isu kepada ahli-ahli PPBM bahagian Tanjung Piai.

“Mereka lihat kekalahan itu disebabkan kelemahan kepimpinan saya, tetapi kekalahan dalam PRK tidak boleh dijadikan ukuran,” katanya kepada FMT.

BN menang dengan majoriti 15,086 undi, di mana calonnya, Wee Jeck Seng memperoleh 25,466 undi menewaskan Karmaine (10,380 undi); calon Gerakan, Wendy Subramaniam (1,707 undi); calon Berjasa, Badhrulhisham Abdul Aziz (850), serta calon Bebas, Ang Chuan Lock (380) dan Faridah Aryani Abd Ghaffar (32).

Karmaine berkata, isu yang dibangkitkan pembangkang semasa PRK adalah isu nasional, seperti masalah kos sara hidup yang dialami rakyat, masalah hutang negara, bukannya isu setempat dan masalah melibatkan PPBM.

“Cuma kena ingat, siapa dahulu yang berani berjuang bersama pembangkang sebelum Pakatan Harapan tawan Putrajaya.

“Ketika itu, hendak pakai baju merah yang ada lambang bunga pun ada yang malu kerana masyarakat Melayu melihat ia perkara ganjil,” katanya.

Beliau berkata, calon yang bertanding dalam pemilihan PPBM kali ini tidak seharusnya melihat ia sebagai salah satu cara mengejar kemewahan, sebaliknya perlu melihat ia sebagai suatu tanggungjawab besar.

Tiada ulasan: