Khamis, 20 Februari 2020

Pemuda PH Sabah dakwa Warisan bolot jawatan lantikan politik

MALAYSIAKINI




Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah, Razeef Rakimin kecewa dengan tindakan Warisan yang membolot semua pelantikan penyelaras Parlimen di kawasan yang dimenangi pembangkang.
Katanya, semua lima jawatan itu dibolot tanpa "memberi muka" kepada PH.

Pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, pembangkang memenangi kerusi Parlimen di Kota Marudu, Kimanis, Keningau, Pensiangan dan Kinabatangan.

"Pada PRU ke-14 lalu Pensiangan ditandingi PH (PKR) manakala Kota Marudu, Kimanis, Keningau dan Kinabatangan ditandingi oleh Warisan.

"Maka penyelaras Parlimen Pensiangan sepatutnya kuota untuk PH- PKR.

“Namun sesuatu yang mendukacitakan apabila lantikan penyelaras Parlimen bagi kelima-lima kawasan ini dibolot oleh Warisan tanpa ‘memberi muka’ kepada PH," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penyelaras Parlimen yang dilantik itu adalah Majamis Timbuong (Kota Marudu - Warisan), D Daud Yusof (Kimanis - Warisan), Rasinin Koutis (Keningau - Warisan), Peter Anthony (Pensiangan - Warisan) dan Masiung Banah (Kinabatangan - Warisan).

Selain mempersoal tindakan melantik penyelaras Parlimen di Pensiangan, Razeef juga menyatakan rasa tidak puas hati apabila lantikan itu diberikan kepada Adun Melalap yang terletak dalam kawasan Parlimen Tenom.

“Saya menggesa pengerusi PH Sabah untuk lebih tegas demi kepentingan PH Sabah dan tidak dilihat seperti 'lembu dicucuk hidung' oleh pemimpin Warisan," tambahnya.

Katanya, PH Sabah telah mengorbankan terlalu banyak kerusi Parlimen dan DUN pada PRU-14 lalu dan tidak sepatutnya ditindas melalui lantikan politik dan sekali lagi terpinggir dalam soal lantikan Penyelaras Parlimen.

Tambahnya, pengerusi PH Sabah, Christina Chew sepatutnya memperjuangkan hak PH dalam kerajaan negeri Sabah hari ini.

"Jika beliau terus membiarkan PH ditindas dan dengan jumlah kerusi DUN yang Warisan pada hari ini adakah beliau yakin Warisan masih ingin berkerjasama dengan PH pada PRU-15 akan datang?

"Saya mempersoalkan perkara ini kerana saya melihat seolah-olah PH Sabah tidak membentuk gabungan bersama Warisan, tapi sekadar menumpang dalam kerajaan dan bakal ditendang pada bila-bila masa," katanya.


Tiada ulasan: