Khamis, 20 Februari 2020

MCA, DAP terus berlumba-lumba pertahan UEC, tawan orang Cina

fazleen safina

 

Ini bukan isu remeh atau kecil, ianya babitkan masa hadapan negara


BANGI – Sudah banyak bukti menyatakan parti rasis dan cauvinis, MCA serta DAP saling berlumba-lumba mempertahan dan memperjuangkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) demi memenangi hati orang Cina.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, isu UEC bukanlah sesuatu yang remeh atau kecil, ianya membabitkan masa hadapan negara.

“Jika kita tidak bertegas dan sensitif dalam isu UEC, jangan mimpilah untuk memansuhkan sekolah vernakular dan melaksanakan sistem sekolah satu aliran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, MCA menggesa Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menjustifikasikan alasan kerajaan yang dilihat tidak lagi membuka pengambilan untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan untuk Sijil Peperiksaan Bersama UEC (PISMP-UEC) kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Belia Negara MCA, Ng Sing Phing berkata, program PISMP-UEC adalah satu-satunya jalan kepada pemegang sijil kelulusan UEC untuk menjadi penjawat awam menerusi jawatan guru.

Justeru, katanya, dengan tindakan baharu kerajaan yang tidak lagi merekrut guru bahasa Cina tahun ini, pelajar UEC seolah telah disisihkan dalam perkara ini.

Sing Phing turut mendesak pemimpin DAP itu menyatakan pendiriannya sama ada sehaluan atau tidak bersetuju dengan pendekatan semasa yang diambil kerajaan dalam perkara itu.

Malah beliau juga menyoal apakah masyarakat Cina terus boleh ‘melabur’ harapan mereka terhadap UEC yang pernah diktiraf dalam aspek pengambilan guru bahasa Cina sebelum ini.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyarankan, supaya parti-parti politik Cina di negara ini bersikap sederhana dalam memperjuangkan hak kaum masing-masing berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, sekiranya sikap berkenaan dipupuk, negara akan sejahtera selain keharmonian antara kaum juga terpelihara.

“Selogiknya, jika mereka ini bersederhana dalam perjuangan mereka mengikut Perlembagaan, pastinya mereka akan turut bersama-sama kita semua dalam memperjuangkan sistem sekolah satu aliran.

“Malangnya ini tidak berlaku kerana mereka merasakan bahawa perjuangan mereka ini betul, antara sebabnya ialah kerana wujudnya orang-orang Melayu yang menyokong perjuangan mereka ini.

“Saya berharap sangat agar parti-parti Melayu dari pembangkang khususnya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dapat ‘mengawal’ kerakusan dan perangai liar kedua-dua parti ini. Ini kerana dalam isu UEC, sepatutnya tiada kompromi sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang,” katanya.


Tiada ulasan: