Setiausaha Agung Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, masa depan politik pemimpin itu masih panjang dan beliau tidak patut merisikokannya dengan isu terbabit.
“Isu ini akan menjejaskan perjalanan politik dia (Amirudin) pada pilihan raya umum akan datang.
“Pegang kata-kata saya,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan Selangor berhubung cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara, hari ini.
Hadir sama, kumpulan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka).
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy menyuarakan bantahan terhadap cadangan membatalkan warta kawasan seluas 930 hektar (2,300 ekar) di kawasan hutan simpan itu.
Ini susulan, tular keratan notis iklan oleh Jabatan Perhutanan Selangor untuk mengeluarkan keluasan itu dari kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang disiarkan di akhbar utama pada 5 Feb lalu.
Ia kemudian mengundang pihak berkepentingan di daerah itu membantah cadangan itu dalam tempoh 30 hari selaras dengan Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014, serta Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985, yang memperuntukkan (peletakan notis) wajib sebelum rizab hutan boleh dibatalkan.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata status tanah di hutan simpan itu pernah ditukar pada 1994 sewaktu pentadbiran Barisan Nasional iaitu sebanyak 1,000 ekar sejak ia diwartakan pada 1927.
Beliau mempersoalkan sama ada Amirudin memiliki hasrat untuk “pecah rekod” kerajaan terdahulu dengan mengeluarkan 2,300 ekar dari kawasan hutan simpan kekal berkenaan.
“Kamu nak pecah rekod Umno dan BN ke? Mereka mansuh baru 1,000 ekar.
“Kamu baru sahaja (menjadi MB) dah nak mansuh lebih 2,000. Ini, 2 kali ganda zaman Umno,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau sudah memberikan tempoh selama 7 hari kepada Jabatan Perhutanan Negeri untuk menarik balik notis tersebut dan memperhalusi penyelesaian terbaik mengenainya.
“Kalau tidak ada apa-apa, saya dah bercadang dengan penduduk Orang Asli untuk buat sekatan di depan pejabat SUK negeri sebagai isyarat bantahan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan