Selasa, 18 Februari 2020

Gagal tunai janji baiki sekolah usang, menteri Sarawak akan jumpa PM

Terdapat 1,020 sekolah usang di Sarawak, dengan 415 daripadanya 
dikategorikan sebagai kritikal usang.
 
KUCHING: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal memenuhi janjinya dengan kerajaan Sarawak untuk membaik pulih sekolah usang di negeri itu, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Projek naik taraf dan membaiki sekolah usang di Sarawak tidak bermula walaupun bekas menteri pendidikan Maszlee Malik mendakwa projek itu berjalan lancar pada September tahun lalu.

Abang Johari berkata kerajaan negeri menjangkakan kerja naik taraf akan dimulakan selepas ia membuat pembayaran fasa pertama sebanyak RM350 juta kepada Putrajaya pada Ogos tahun lalu sebagai sebahagian daripada pembayaran pinjaman RM1 bilion.

Kerajaan Sarawak bersetuju membayar balik pinjaman kepada Putrajaya supaya kerajaan persekutuan memberi peruntukan untuk membaiki sekolah usang di negeri itu.

Ia membuat pembayaran ke-2 sebanyak RM350 juta pada 7 Feb tahun ini.

“Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Michael Manyin akan bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga pemangku menteri pendidikan untuk membincangkan perkara ini pada 12 Mac,” katanya selepas melancarkan kolokium “Kebesaran Al-Quran”, hari ini.

Abang Johari berkata kerajaan Sarawak tidak akan membayar baki sebanyak RM300 juta, yang akan berakhir dalam tempoh 3 bulan, kepada Putrajaya jika projek naik taraf dan membaiki sekolah usang tidak bermula pada masa itu.

“Kami bimbang mereka mungkin akan menghabiskan wang itu untuk perkara lain. Murid-murid akan menjadi mangsa,” katanya, sambil menambah wang itu dibayar kepada Dana Konsolidasi Persekutuan.

Terdapat 1,020 sekolah usang di Sarawak, dengan 415 daripadanya dikategorikan sebagai kritikal usang.

Tiada ulasan: