Selasa, 18 Februari 2020

Empat hotel Tabung Haji ditutup April

MALAYSIAKINI




Empat buah hotel yang dimiliki Lembaga Tabung Haji dikatakan telah menutup operasi.

Ini selepas notis dalaman oleh TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR), yang mengumumkan perkara itu tular di media sosial.

Hotel berkenaan adalah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel & Convention Center Alor Setar, TH Hotel Penang, dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.

Penamatan operasi hotel berkenaan dikatakan berkuat kuasa pada 1 April 2020.

Menurut notis bertarikh 17 Feb itu, pengumuman itu dibuat susulan sesi town hall yang diadakan pada tahun lalu di Kelana Jaya, Kota Kinabalu, Terengganu, Pulau Pinang dan Alor Setar.

Notis berkenaan ditandatangani pengarah urusan Kumpulan dan ketua pegawai eksekutif TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR), Zulkefli Ahmad.

Dinyatakan, penamatan operasi dan perkhidmatan tersebut merupakan keputusan tidak dapat dielakkan memandangkan operasi dan pengurusan hotel terlibat sudah atau akan diambil alih syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).

Notis berkenaan juga menyebut kakitangan hotel berkenaan akan ditawarkan skim pemberhentian.
Komunikasi Korporat Tabung Haji ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

Menurut laporan The Edge November lalu, Tabung Haji telah menyempurnakan pemindahan aset dengan nilai pasaran RM9.63 bilion kepada Urusharta Jamaah.

Ini sebagai pertukaran untuk sejumlah RM19.9 bilion, yang terdiri daripada dua  peringkat sukuk dan RM300 juta tunai yang perlu dibayar kepada Tabung Haji.

“Perbezaan sebanyak RM10.3 bilion antara pertimbangan sebanyak RM19.90 bilion dan nilai pasaran ke atas aset sebanyak RM9.63 bilion, akan ditanggung oleh kerajaan bagi memastikan kedudukan kewangan TH dipulihkan,” katanya di Kuala Lumpur, hari in," kata UJSB dalam satu kenyataan.


Tiada ulasan: