Sabtu, 21 Disember 2019

Sugarbook: Serangan pemikiran, undang aktiviti tidak bermoral

ROSLINDA HASHIM 


Papan iklan Sugarbook yang dikesan dipasang di Bangsar dan Bukit Kiara. - Foto DBKL (Gambar kecil: Ahmad)

ALOR SETAR - Pas Kedah mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil tindakan tegas terhadap pemilik aplikasi mencari pasangan dalam talian, Sugarbook berhubung papan iklan yang disifatkan kurang sesuai untuk dipasang secara terbuka dalam negara ini.

Pesuruhjayanya, Ahmad Yahaya berkata, iklan 'menempah' pasangan itu juga merupakan serangan pemikiran mahupun perbuatan melampau dengan menggunakan teknologi aplikasi.

“Pelbagai tekanan ke atas penderitaan umat Islam semakin bertambah dari hari ke hari. Mungkin sebelum ini aktiviti tidak bermoral itu dilakukan secara bersembunyi dan di premis tertutup, kini secara terbuka dan mudah hanya di hujung jari,” katanya.

Ahmad berkata, ini tidak bermakna Pas menolak kemajuan teknologi, sebaliknya menolak capaian kandungan yang tidak bermanfaat seperti itu.

“Walaupun pemilik aplikasi itu sudah jelaskan, ia bukan untuk pelacuran tetapi lebih kepada konsep bertemu jodoh, Pas tetap bantah promosi iklan seumpama yang disifatkan tidak bermoral. Golongan korporat kapitalis boleh andaikan apa sahaja kerana bagi mereka, ia keuntungan material semata-mata, bukan isu halal dan haram,” katanya.

Menurutnya, Pas Kedah turut menyifatkan isu ini sebagai usaha memperkayakan golongan kapitalis, namun pada masa sama menjerumuskan nilai-nilai adab agama dan bangsa.

“Janganlah menunggu ‘sudah terantuk baru nak tergadah’, seeloknya cegah sebelum berlaku. Apakah ini bertepatan dengan slogan kerajaan PH iaitu Rahmatan Lil-Alamin sedangkan apa yang berlaku sebaliknya,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/62824/BERITA/Nasional/Sugarbook-Serangan-pemikiran-undang-aktiviti-tidak-bermoral


Tiada ulasan: