“HANYA mati sahaja yang akan menidakkan saya tidak boleh lagi Solat Jumaat!” demikian tegas Nor Zamri Latiff berkongsi imbasan pengalamannya menghadapi ‘sekatan’ untuk pergi mengerjakan Solat Jumaat kira-kira 20 tahun dahulu.
Ketika itu beliau bekerja di sektor perkilangan, antara syarikat terkemuka dunia iaitu Sony EMCS di Perai, Pulau Pinang dan telah berkhidmat selama 18 tahun, sebelum berhenti 12 tahun lepas.
Akibat dari hal tersebut katanya, berlaku peristiwa beliau menumbuk rakan sejawatan bukan-Muslim hingga membuka mata mereka yang lain dan mendesak peraturan membenarkan Solat Jumaat.
“Saya tetap keluar (pergi Solat Jumaat). Tahun 1995 direzekikan oleh Allah S.W.T (saya dapat) kenaikan pangkat untuk bersama membina department baru iaitu Sony ODD. Alhamdulillah. Jasa Bos dan rakan non-Muslim amat saya hargai.
“Semua (pekerja Sony ODD) keluar (pergi) Solat Jumaat hingga ‘mencemburukan’ (pekerja) department lain. Director ODD, Mr TK Ong begitu rapat dengan saya. Sentiasa support dan cover berkaitan solat dan kebajikan.
“Tahun 2000 alhamdulillah semua pekerja keluar Solat Jumaat dan dimestikan menaiki bas kilang sahaja. Selepas itu bertambah baik dengan 2 jam stop operasi. Pekerja wanita Muslim (pula) boleh mendengar Kuliah Muslimat di surau dengan jemputan Ustazah.
“Allahuakbar! Apabila kita meletakkan Islam dalam pekerjaan, insya-Allah, Allah permudahkan. (Malah) Sony ODD terlalu banyak (dapat) award Juara sejak penubuhannya 1995,” ujarnya merujuk anugerah produktiviti, kualiti, IPS Kaizen dan 5S setiap tahun.
Katanya, walaupun sudah bersara, beliau masih mendapat jemputan dari sahabat Sony dalam masyarakat kerja itu seperti Jejak Ramadhan, Kembali Ke Sekolah, Akikah dan Korban Perdana, serta aktiviti sukan.
Semua itu jelasnya, kerana erat hubungan persaudaraan yang terjalin atas semangat Islam, bahkan mengharmonikan hubungan dengan rakan-rakan bukan-Islam, termasuk hal ehwal kebajikan sesama mereka.
Kini Zamri selaku Yang DiPertua PAS Kawasan Nibong tebal menjelaskan bahawa beliau mengimplementasi segala usaha seperti tersebut dari roh perjuangan PAS yang membawa dakwah, tarbiyah dan siyasah.
Bahkan beliau berbangga, terdapat empat pekerja dari Sony Perai pernah menjadi Calon PAS dalam PRU dan mereka terus berjuang meletakkan Islam di hadapan, setidak-tidaknya solat pada waktu.
Tetapi kesali beliau, di zaman PH memerintah ini sebagaimana dapat dilihat pada perbahasan Parlimen beberapa minggu lalu, Menteri gagal memberi jawapan mengenai garis panduan berkenaan Solat Jumaat untuk pekerja.
Bidasnya, sikap tanpa pendirian jelas tersebut seolah-olah meminggirkan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan