HARAKAHDAILY
SEWAKTU membentangkan kad laporan Kementeriannya,
Menteri Agama menggariskan kelulusan cadangan Pelaksanaan Gagasan Negara
Rahmah Dalam Pentadbiran Negara berpaksikan nilai Rahmatan Lil Alamin oleh Jemaah Menteri pada 25 Oktober lalu sebagai pencapaian paling signifikan beliau.
Bila disemak kepada kad laporan bertema ‘Menuju Negara Rahmah’
itu, didapati bahawa Definisi Negara Rahmah dalam Gagasan Negara Rahmah
adalah “Sesebuah negara yang bermaruah, tadbir urus yang baik,
mengamalkan prinsip hukum, masyarakatnya berpandukan kepada ajaran
al-Quran dan Sunnah bagi mewujudkan kesejahteraan dan kedamaian”.
Sedap didengar Definisi Negara Rahmah ini tetapi realiti yang ada di
Malaysia hari ini adalah jauh umpama langit dengan bumi dari definisi
ini, khususnya yang membabitkan bahagian “negara yang mengamalkan
prinsip hukum, masyarakatnya berpandukan kepada ajaran al-Quran dan
Sunnah bagi mewujudkan kesejahteraan dan kedamaian”.
Menteri Agama sendiri dilihat seronok menunggang konsep Rahmatan Lil Alamin
dan Gagasan Negara Rahmah sebagai bahan kosmetik untuk mencantikkan
wajah Kerajaan Pakatan Harapan yang disaluti pelbagai macam kudis,
sedangkan usaha sebenar untuk mengubati, merawati dan mencegah
kudis-kudis itu sendiri tidak diambil berat.
Apa guna Menteri
Agama berbangga dengan bajet RM10 juta jika ia hanya untuk memberi
penerangan kepada rakyat, membuat sesi Town Hall di Institusi Pengajian
Tinggi (IPT) selain melantik 200 duta Rahmah, sedangkan usaha sebenar
untuk melaksanakan konsep Rahmatan Lil Alamin dan Gagasan Negara Rahmah hampir tiada.
Yang patut diberi fokus oleh Menteri Agama bukanlah memberi penerangan kepada rakyat mengenai konsep Rahmatan Lil Alamin
dan Gagasan Negara Rahmah tetapi adalah memberi penerangan kepada
setiap Kementerian dan Jabatan Kerajaan bagi memastikan segala aktiviti
yang mereka lakukan bertepatan dengan konsep dan gagasan ini.
Lihat sahaja isu aplikasi Sugar Daddy dan Sugar Baby yang heboh beberapa hari ini, Menteri Agama langsung tidak berani bersuara sedangkan ia jelas bercanggah dengan konsep Rahmatan Lil Alamin
dan Gagasan Negara Rahmah yang menetapkan kerajaan mengamalkan prinsip
hukum dan masyarakatnya berpandukan kepada ajaran al-Quran dan Sunnah.
Peneraju agensi utama di bawah Menteri Agama, YADIM, pun tidak faham dan tiada komitmen melaksanakan konsep Rahmatan Lil Alamin
dan Gagasan Negara Rahmah ini, jika tidak pastilah Timbalan Yang di
Pertuanya merangkap Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN tidak cuci tangan
dengan berkata “bukan kerajaan yang buat (Sugarbook)”.
Begitulah juga dengan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Pengarah
Komunikasi PAN yang langsung tidak nampak hasrat “mengamalkan prinsip
hukum dan masyarakatnya berpandukan kepada ajaran al-Quran dan Sunnah”
dengan menyebut seronok Sugarbook dapat publisiti percuma bila ia ditular oleh media sosial.
Langsung tidak nampak komitmen pemimpin PAN untuk mengambil langkah atau sekadar mendesak Sugarbook diharamkan sedangkan Panel Rujuk Nadwah Ulamak dan Ilmuan YADIM boleh menulis dalam akhbar Berita Harian:
(1) Sugarbook membuka ruang kepada pelacuran secara teratur dan terancang melalui aplikasi digital.
(2) Prinsip ditetapkan Islam, apabila diharamkan sesuatu, ia juga
turut mengharamkan perkara yang menjadi wasilah kepada yang haram.
Contohnya, pengharaman zina, Islam juga turut mengharamkan dari segi
unsur yang mendorong ke arah zina, seperti aplikasi digital Sugarbook.
(3) Jika kita mengatakan penggunaan aplikasi digital Sugarbook sebagai hak kebebasan, maka ia melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam ialah agama bagi Persekutuan.
Jika pandangan panel rujuk pun langsung tidak mahu dipakai maka pastilah konsep Rahmatan Lil Alamin dan Gagasan Negara Rahmah punya masa depan yang amat kelam.
DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI , Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ,Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan