Isnin, 16 Disember 2019

Pilihan Raya PBT: Kewajaran yang dipertikai

MOHD ASHRUL HISYAM ABDUL JALIL 
 
 

NEGARA dikejutkan dengan berita keluaran portal Free Malaysia Today yang memetik ‘Konvensyen DAP Kuala Lumpur lulus resolusi Pilihan Raya PBT’. Ini menjadi suatu kejutan lama yang disegarkan semula setelah percubaan kali terakhir pada 2013 tidak berjaya dilakukan era Pakatan Rakyat menang dan berjaya memerintah negeri-negeri di Semenanjung pasca PRU ke 13.

Apa yang menghairankan, polemik isu mewujudkan kembali Pilihan Raya PBT ini dibuat selepas DAP berjaya menerajui kembali Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada masa tersebut. Kononnya mengambil peduli isu-isu masyarakat yang tidak dapat ditangani oleh wakil Adun atau Ahli Parlimen di kawasan yang dimenangi mereka.

Pelbagai cadangan dan respon balas yang telah dikeluarkan oleh para ahli politik, ahli akademik dan majoriti rakyat yang telah menolak diadakan perkara tersebut sehingga menyebabkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada masa itu membatalkan atau menangguhkan hasrat mereka untuk diadakan Pilihan Raya PBT pada masa tersebut.

Perlu diingatkan, sekiranya isu ini tidak ditangani, dibimbangi ia akan mengakibatkan ketidakstabilan sosio ekonomi, menjejaskan kerukunan masyarakat majmuk yang telah terbina sekian lama dan dikhuatiri adanya monopoli sesuatu kelompok kaum di kawasan bandar.

Isu-isu moral dan sosial masyarakat masih perlu penambahbaikan dan aspek pencegahan yang harus diambil perhatian lebih-lebih lagi dalam urusan penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan.

Justeru, kerajaan hari ini haruslah lebih peka terhadap isu sebegini serta menitik beratkan aspek pertingkatkan keselamatan dan sosio ekonomi masyarakat setempat berbanding merebut kuasa dengan sikap tamak dan bukan atas dasar kepentingan rakyat.

Apa yang diharapkan oleh rakyat bukanlah pemilihan berat sebelah seperti ini tetapi Pihak Berkuasa Tempatan yang diterajui oleh Kerajaan PH sekarang haruslah memperkukuhkan agenda rakyat dengan mewujudkan prasarana yang teratur, mempelbagai aktiviti pembentukan modal insan seperti mewujudkan bengkel usahawan untuk para ibu tunggal, meraikan para belia dan remaja dengan aktiviti sukan dan riadah di samping mewujudkan kesedaran berkenaan bahaya penyalahgunaan dadah, meminum arak di tempat terbuka dan gejala lumba haram yang kian membarah kepada anak muda masa kini.

Kami mengingatkan, semua hasil kutipan cukai yang dikutip dan digunakan selama ini tidak pernah dipertikai atau disentuh kerana masyarakat faham tugas dan fungsi ahli penguatkuasaan tempatan menjalankan fungsi menyelenggara, membaik pulih dan menambah fasiliti-fasiliti awam, serta menggalakkan aktiviti yang pelbagai kepada masyarakat, sehingga hampir kesemua wakil lantikan PBT menerima imbuhan perbelanjaan yang banyak di samping penambahan perbelanjaan pengurusan yang digunakan untuk kesejahteraan rakyat setempat.

Justeru, amatlah dibimbangi, jika kerja-kerja yang selama ini dipandang elok dari kaca mata rakyat marhaen, akan dipandang jelek dek kerana perebutan jawatan-jawatan strategik dalam organisasi PBT, dan dikhuatiri menjadi suatu pembaziran dan memerlukan perbelanjaan kos yang banyak untuk pengurusan pilihan raya tersebut.

Kami berpandangan dengan perbelanjaan PR PBT yang akan menelan belanja jutaan Ringgit, adalah lebih elok digunakan bagi menjana perbelanjaan keperluan masyarakat dalam aspek pembelajaran, pengurusan fasiliti-fasiliti awam dan penambahbaikan struktur kewangan kakitangan yang berkhidmat dalam Pihak Berkuasa Tempatan.

Justeru kami dengan tegas menyatakan bahawa tindakan DAP ini hanya akan menambah kesengsaraan rakyat dan meruntuhkan nilai-nilai kemasyarakatan majmuk Malaysia. Keharmonian dan kemakmuran masa depan generasi akan datang tidak harus dipertaruhkan dan dimusnahkan dengan hanya dengan agenda rakus dan tersembunyi ini.

MOHD ASHRUL HISYAM ABDUL JALIL
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS kawasan Puchong
HARAKAHDAILY



Tiada ulasan: