KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Pemuda Umno menggesa pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang dituduh melakukan kesalahan supaya mengikut langkah bekas presidennya, Najib Razak melafaz sumpah menafikan tuduhan terhadap mereka.
Ketua Pemuda Umno Titiwangsa, Nazir Hussin Akhtar Husin menyaksikan acara sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru itu hari ini.
“Kepada pemimpin PH yang mana terlibat dengan kes video dan lain-lain, bila hendak bersumpah. Kalau tidak terlibat, silakanlah bersumpah,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan masjid hari ini.
“Kalau berani, tampillah ke masjid seperti dilakukan Najib, bersumpah di depan khalayak ramai. Baru kita tahu siapa benar dan siapa tidak benar.”
Najib hari ini bersumpah menafikan pernah mengarahkan bekas pegawai polis, Azilah Hadri atau mana-mana individu lain membunuh warga Mongolia, Altantuya Shariibuu.
Beliau melafazkan sumpah disaksikan isterinya, Rosmah Mansor, anak mereka, Nooryana Najwa Najib, dan lebih kurang 500 orang lain selepas selesai solat Jumaat.
“Wallahi, wabillahi, watallahi, sejak memasuki usia taklif (dewasa) hingga saat ini, saya tidak pernah arahkan mana-mana individu, untuk bunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
“Saya tidak pernah berjumpa, tidak kenal mendiang sama sekali,” katanya.
Najib pernah melafazkan sumpah laknat yang sama ketika beliau memegang jawatan timbalan perdana menteri 11 tahun lalu di Masjid Guar Perahu, Pulau Pinang, menafikan beliau mengenali Altantuya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan