Hal ini dinyatakan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya yang melihat agenda normalisasi maksiat semakin jelas dalam tindak tanduk masyarakat yang memanfaatkan kerajaan yang lemah pendekatan keagamaan.
“Tiada sensitiviti langsung dengan kemaksiatan yang sememangnya bertentangan dengan nilai keagamaan sejagat melainkan nafsu syaitan sahaja.
“Terlebih sensitif dalam bab asap rokok yang semangat pengawalannya umpama buih minuman kola, tetapi mesra sangat dengan arak sampai boleh diminum di serata tempat, bahkan diungguli dengan pesta tatkala menjelang Oktober,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azhar, Pas Wilayah Persekutuan melihat dengan penuh serius segala perkembangan unsur bertentangan dengan ajaran Islam itu, yang kini muncul lagi perkara seperti cuba menormalisasikan pelacuran kelas atasan melalui iklan mukadimah zina Sugarbook.
Tegasnya, Pas mengecam keras tindakan pemasangan papan tanda Sugarbook dipercayai dipasang di Bangsar dan Mont Kiara.
“Tindakan itu bukan sahaja bertentangan dengan agama, budaya dan norma masyarakat setempat, bahkan mencemar nama baik negara ini.
“Pihak bertanggungjawab seharusnya mengambil kira pelbagai perkara sebelum meluluskan pemasangan sesuatu iklan serta tidak bertindak sambil lewa dalam penguatkuasaan sehingga boleh mendatangkan persepsi negatif kepada pentadbiran, bahkan diambil kesempatan oleh entiti berunsur dajjal untuk mengetengahkan agenda mereka,” katanya.
Beliau mendesak papan tanda itu dan yang sama sepertinya tidak lagi wujud di ibu kota Rahmatan Lil ‘Alamin ini dan berharap tidak terus berulang pada masa akan datang serta pihak berkenaan dikenakan tindakan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan