Ahad, 1 Disember 2019

Ketua Whip PH tak bertanggungjawab bukan MP pembangkang

Manzaidi Mohd Amin
MGF14102019_Sidang-Media-Kelab-Veteran-Utusan_09
Bekas Pekerja Utusan Malaysia, Tan Sri Mohd Khalid Yunus.


KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Hannah Yeoh sepatutnya menyalahkan Ketua Whip Pakatan Harapan (PH) yang menyebabkan peruntukan untuk kementerian itu hampir ditolak Dewan Rakyat baru-baru ini.

Timbalan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Tan Sri Khalid Yunus berkata, Ahli Parlimen Segambut itu seharusnya menyalahkan Datuk Johari Abdul kerana gagal memastikan Ahli Parlimen kerajaan hadir untuk memberi undi kepada bajet KPWKM.

“Kenapa pula beliau beria-ia menyalahkan ahli parlimen blok pembangkang yang tidak menyokong belanjawan itu. Mana ada pembangkang menyokong usul atau cadangan pihak kerajaan? Saya rasa pelik dengan sikap beliau.

“Hannah tidak boleh mengambil itu (blok pembangkang tidak sokong) sebagai satu kesalahan. Ini normal sebagai fungsi pembangkang dalam Dewan Rakyat.

“Dia sepatutnya dia kena tanyalah Ketua Whip dia kenapa Ahli Parlimen kerajaan ramai tidak hadir. Dia tidak boleh menyalahkan orang lain khususnya ahli parlimen pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Hannah yang meletakkan kesalahan peruntukan kementerian hampir tertolak oleh Dewan Rakyat berikutan tidak cukup undi.

Dalam kenyataannya semalam, Hannah menyelar semua 28 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pas kerana cuba mengagalkan belanjawan untuk kementeriannya.

Katanya, dana untuk kementeriannya bertujuan antara lain untuk kumpulan yang kurang upaya, warga emas, wanita dan kanak-kanak.

Menurut Khalid yang merupakan bekas Ahli Parlimen Jempol selama 17 tahun, tindakan timbalan menteri itu tidak betul apabila menyalahkan pembangkang.

“Di peringkat jawatankuasa ini, apabila peruntukan itu hendak diluluskan, memang diadakan undi belah bahagi. Apabila sampai ke tahap itu, Ahli Parlimen PH kena buat keputusan dan sewajarnyalah pembangkang tidak akan menyokong.

“Bahkan, Ahli Parlimen PH yang sebelum ini sebagai pembangkang pun apabila dibentangkan undian belah bahagi oleh pihak kerajaan (BN) tidak pernah pun menyokong.

“Apa mesej yang hendak disampaikan oleh Hannah ini apabila dia menyelar semua ahli parlimen pembangkang yang tidak menyokong. Saya faham dan boleh baca apa matlamat atau mesej dia itu,” katanya.

Beliau menjelaskan, sepanjang berada di Dewan Rakyat selama 17 tahun, beliau melihat Lim Kit Siang dan konco-konconya dari DAP tidak pernah menyokong usul kerajaan.

“Tiba-tiba sekarang dia (PH) marahkan pembangkang. Saya tahulah dia sebenarnya cuba mempolitikkan soal ini untuk menunjukkan kepada pengundi di kawasan pembangkang, kononnya pemimpin mereka tidak bertanggungjawab.

“Sepatutnya sebelum Hannah buat kenyataan itu, dia kena tanya diri dia dahulu, masa dia jadi pembangkang, dia nak sokongkah apa-apa yang kerajaan bentangkan? Sampai mati dia tak sokong.

“Di mana-mana parlimen dalam dunia ini sekalipun, jarang benar ahli parlimen pembangkang menyokong kerajaan tetapi itu bukan isu,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: