Rabu, 4 Disember 2019

Isu himpunan komunis, Chin Peng ibarat kembar penjajah

siti hafidah 

 

Mereka yang jahil sejarah saja tak peka dengan peristiwa berlaku

BANGI – Perhimpunan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah kolej swasta di Kajang, Ahad lalu telah mendedahkan bahawa masih ada benih fahaman yang melampau di negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan menegaskan, hanya mereka yang jahil sejarah tanah air dan negara sahaja tidak peka dengan peristiwa ini.

Beliau turut menyifatkan isu abu mayat Chin Peng yang diseludup masuk ke tanah air serta perhimpunan bekas anggota PKM baru-baru ini sebagai kembar penjajah.

“Walaupun Chin Peng sudah menjadi abu yang ditaburkan, pertelingkahan mengenainya berlaku bukan hanya cerita abu dan habuk sahaja, tetapi selepas itu diadakan majlis sambutan yang diatur oleh pihak yang mendedahkan diri mereka sebagai menghargai perjuangan Chin Peng.

“…atau sekadar memperingati perjuangannya menentang penjajah British tanpa menilai ideologi perjuangan yang menegakkan ideologi komunis dan kembarnya sosialis,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memaklumkan bahawa Chin Peng yang juga pemimpin PKM telah dianugerahkan Order of the British Empire (OBE) dan dua pingat kerana membantu British melawan pendudukan Jepun di Malaya dalam Perang Dunia Kedua.

“Itu menunjukkan betapa hubungan ideologinya dengan penjajah British laksana kembar siam, seperti tangan kanan dan tangan kiri dalam satu jasad.

“Walaupun berada di tempat yang berbeza, tetap mempunyai hubungan bersama dalam melaksanakan konsep imperialisme dan kolonialisme, dan membahagikan dunia kepada Timur dan Barat mengikut semangat Perjanjian Sykes-Picot yang membahagikan tanah air umat Islam secara khusus,” katanya.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, dibawa masuk ke Malaysia pada 16 September lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Beberapa media turut melaporkan lebih 300 individu, termasuk bekas ahli PKM mengadakan perjumpaan dalam satu majlis memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai di Kajang, pagi Ahad.

Isu mengenai komunis kembali menjadi polemik susulan kepulangan abu mayat Chin Peng, dengan ada yang mempertahankan tindakan itu kerana menepati Perjanjian Damai Hatyai, di samping yang mengkritik kerana mengguris hati keluarga mangsa anggota polis, tentera dan orang awam yang menjadi korban keganasan komunis.


Tiada ulasan: