Selasa, 3 Disember 2019

Bahaya! Pemimpin kerajaan penyokong komunis, LTTE

fazleen safina

 

Melayu hanya akan jadi penumpang tiada maruah jika tak bersatu

BANGI – Pemuda gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menggesa rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu selaku tulang belakang kestabilan negara ini, untuk segera bersatu dalam menegaskan identiti Malaysia sebagai negara Islam.

Exco Penerangan Pemuda Isma, Muslim Abdullah Zaik membangkitkan perkara itu susulan bimbang dengan kedaulatan negara, apabila ada pemimpin di pihak kerajaan kini dikaitkan dengan isu pengganas komunis dan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Sebelum ini, dua ADUN dari parti paling dominan dalam Kerajaan Malaysia, DAP ditahan kerana didakwa atas pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE.

Terbaharu, pemimpin dari parti itu, Ronnie Liu pula dilaporkan hadir ke perhimpunan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM), di sebuah kolej swasta di Kajang, Ahad lalu.

Perhimpunan itu kononnya untuk memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.

Bimbang dengan keberadaan mereka dalam kerajaan, Muslim menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya bertindak tegas dan menghukum pihak-pihak terbabit tanpa berkompromi dan tunduk kepada desakan politik.

Beliau berkata, dalam menangani isu ini, pemimpin Melayu sama ada dalam blok pemerintah mahupun pembangkang perlu bersama-sama ke depan mendesak kerajaan untuk bertindak tegas.

Katanya, pemimpin perlu bermaruah dalam menyatakan pendirian dengan mengambil kira kepentingan umat Islam secara umum, bukan hanya kepentingan survival parti sahaja.

“Orang Melayu perlu berpolitik secara matang, dengan cara melahirkan kekuatan orang Melayu dalam membentuk dan menetapkan pembentukan negara.

“…sekiranya kita meninggalkan kesatuan sesama kita, masa depan tanah ini akan ditentukan oleh orang lain dan kita hanya akan jadi penumpang yang tiada maruah dan hina,” katanya.


Tiada ulasan: