Jumaat, 1 November 2019

PRK Tanjung Piai mampu beri tekanan politik kepada PH - UMNO Kelantan

Astro Awani, Kenyataan Media
PRK Tanjung Piai mampu beri tekanan politik kepada PH - UMNO Kelantan
Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata roh Muafakat Nasional perlu dimanifestasikan secara nyata bermula dari sekarang. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: UMNO Kelantan menyeru semua pengundi di Tanjung Piai agak menggunakan Pilihan Raya Kecil di kawasan parlimen berkenaan sebagai tekanan politik kepada Pakatan Harapan yang didakwa masih gagal mentadbir negara dengan baik.

Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Jazlan Yaakub menegaskan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Wee Jeck Seng akan memberikan impak politik yang cukup besar kepada perubahan landskap politik di Johor.
 
Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata roh Muafakat Nasional perlu dimanifestasikan secara nyata bermula dari sekarang.

"Inilah masanya kita semua di Tanjung Piai perlu buktikan bahawa Muafakat Nasional adalah bersifat multiracial dan tidak mengenepikan agama serta kaum lain.
 
"Titik pemula dan sejarahnya adalah di PRK P.165," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Beliau juga menjelaskan UMNO Kelantan akan berkampung di Tanjung Piai bagi membantu memantapkan gerak kerja dan kempen yang dijalankan.

Jazlan juga menegaskan UMNO Kelantan yakin bahawa status Wee selaku anak tempatan dan pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat boleh menjamin kemenangan BN dalam PRK kali ini.

"Namun, saya mengharapkan MCA juga bijaksana dalam mengambil hati jentera-jentera UMNO yang merupakan tenaga penggerak utama operasi politik di peringkat PDM," katanya lagi.

BN pada Rabu mengumumkan pemilihan Wee sebagai calon mewakili BN untuk berdepan calon Pakatan Harapan (PH) yang diwakili oleh Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Selain PH dan BN, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) turut meletakkan calonnya, Wendy Subramaniam untuk bersaing dalam PRK Tanjung Piai.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong selepas kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik bulan lalu kerana komplikasi jantung.

Hari penamaan calon telah ditetapkan pada 2 November manakala hari pengundian jatuh pada 16 November.

Pada PRU14, Wee tewas kepada Dr Farid dengan majoriti 524 undi, sekali gus gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2008 dan 2013. 
 
 

Tiada ulasan: