Ahad, 10 November 2019

Guan Eng dakwa ‘habislah’ Malaysia jika diperintah sebuah ‘parti pembangkang’

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hadir untuk berucap 
merasmikan Konvensyen DAP Selangor di Petaling Jaya hari ini.
 
PETALING JAYA: Malaysia akan ‘habislah’ sekiranya sebuah “parti pembangkang” memimpin negara ini, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

Beliau berkata, jika situasi tersebut benar-benar berlaku, penjawat awam dinaung parti tersebut tidak akan menerima bayaran gaji kerana ditadbir oleh sekumpulan pemimpin tidak arif dalam hal ehwal pentadbiran negara.

“Mereka buktikan tidak mampu uruskan kerajaan negeri dengan baik, sampai nak bayar gaji pun minta bantuan kerajaan persekutuan.

“Kalau mereka dapat perintah negara habislah kita, gaji pun tak mampu bayar,” kata beliau dalam ucapan pembukaan Konvensyen Tahunan DAP Selangor, dihadiri kira-kira 350 orang di sini, hari ini.

Meskipun Lim, menteri kewangan, tidak menamakan parti atau kerajaan negeri terbabit, tetapi ia dilihat merujuk kepada Kelantan pimpinan PAS, yang pernah menganggotai Pakatan Rakyat bersama DAP.

Pakatan Rakyat sudah terbubar dan kemudian diwujudkan Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Lim memberitahu kementeriannya baru sahaja meluluskan pinjaman sebanyak RM100 juta kepada kerajaan negeri tersebut bagi melunaskan tunggakan bayaran gaji kakitangan mereka.

“Kita tidak ada hasad dengki. Kita bagi juga pinjaman.

“Kita bagi pun kena bantai, kena kecam, kena maki hamun. Tapi tak apa, tanggungjawab kerajaan bila kerajaan negeri tak mampu, kerajaan pusat bagi (pinjaman),” katanya.

Dalam sidang media selepas itu, Lim mengesahkan pinjaman tersebut disalurkan kepada kerajaan Kelantan bulan lepas bagi memastikan kebajikan penjawat awam negeri itu terjamin.

Katanya, ia diluluskan berikutan permohonan kerajaan negeri yang berdepan dengan masalah kewangan untuk meneruskan pentadbiran.

“Ini bukan benda baru. Di bawah Pakatan Harapan (PH) sudah buat kelulusan sebanyak dua kali,” katanya merujuk kepada pinjaman sebanyak RM22.5 juta kepada Kelantan tahun lalu.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, pinjaman tersebut diluluskan bagi memastikan kakitangan kerajaan negeri itu tidak teraniaya disebabkan kelemahan pentadbiran kerajaan pimpinan PAS.

“Yang penting kebajikan rakyat. Kalau tak dapat, itu masalah besar. Kita akan ambil tindakan,” katanya.

Sehingga 31 Dis 2017, kerajaan Kelantan masih belum membayar balik pinjaman pendahuluan sebanyak RM388 juta, yang menjadikan kerajaan negeri itu sebagai penghutang terbesar pinjaman pendahuluan ini, kata beliau lagi.

Tiada ulasan: