Khamis, 7 November 2019

Dewan Rakyat kecoh dengan isu komunis, LTTE

 
 
Isu komunis menghangatkan sesi perbahasan Dewan Rakyat sehingga menimbulkan pertelingkahan dalam kalangan anggota parlimen pembangkang dan Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu tercetus apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) menuduh Umno sebagai parti yang membawa perjuangan komunis dan bukannya DAP.

Ia merujuk kepada beberapa program yang diwakili pemimpin Umno anjuran parti komunis berpangkalan di China.

"(Bekas) Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor hadir ke kongres Komunis.

"Parti yang mendukung perjuangan komunis bukan DAP, tapi Umno," katanya ketika sesi perbahasan rang undang-undang perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Rayer dalam ucapannya juga turut meminta kerajaan menghantar pulang pendakwah bebas Zakir Naik ke India sekiranya dapat memulihkan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara itu.

Tidak berakhir di situ, ketika Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) sedang berbahas, Shahidan Kassim (BN-Arau) mohon untuk mencelah.
Ketika mencelah Shahidan menyanggah tuduhan Rayer dengan membawa masuk buku yang mengaitkan DAP dengan pengganas komunis.

Tindakan Shahidan mengakibatkan pertikaman lidah antara pemimpin Umno dengan wakil rakyat DAP.

Bagaimanapun Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon meminta supaya anggota parlimen bertenang dan duduk serta menghentikan pertelingkahan tersebut.

Pembangkang pula kaitkan DAP dengan LTTE

Kekecohan sekali lagi tercetus apabila Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) menyentuh tentang isu LTTE.

Beliau mendakwa dua Adun DAP yang dikaitkan dengan LTTE memberi imej buruk kepada negara.




"Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) berperanan sebagai pusat pencegahan keganasan serantau dengan kerjasama kerajaan dan pertubuhan antarabangsa. SEARCCT juga turut ketengahkan perspektif Malaysia dalam menangani keganasan.
"Mohon yang berhormat menteri nyatakan tahap kesiapan SEARCCT ketika pengganas LTTE di kalangan pemimpin parti politik boleh membolosi sistem negara," dakwanya.

Kenyataan Mastura itu mendapat bantahan wakil rakyat DAP yang menyifatkan ia menghina mahkamah.

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof yang mengambil alih tugas timbalannya kemudian meminta Mastura supaya tidak membangkitkan perkara yang sedang dalam perbicaraan di mahkamah.

Sekali lagi ia menimbulkan kemarahan wakil rakyat pembangkang yang meminta Mohamad Ariff berlaku adil terhadap kekecohan yang berlaku disebabkan tindakan Rayer mengaitkan Umno dengan perjuangan komunis.

Mohamad Ariff berkata, beliau tidak mengendalikan dewan ketika Rayer berkata demikian dan meminta Anggota Parlimen Jelutong itu menarik balik tuduhan berkenaan.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Rayer menarik balik kenyataan berkenaan akibat bunyi bising dari kalangan anggota parlimen pada ketika itu.


Tiada ulasan: