Ahad, 10 November 2019

Ceramah MCA tarik lebih ramai penyokong berbanding PH

PRK TG PIAI | Masuk minggu kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, MCA dan Pakatan Harapan (PH) terus bersaing bagi menarik sokongan masyarakat Cina di Pekan Nanas, semalam.

MCA mengadakan ceramah mereka di hadapan pasar Pekan Nanas, sementara PH pula di hadapan SJK (C) Yu Ming. Jarak antara kedua-dua tapak program hanya kira-kira enam minit berjalan kaki.

Dari segi kehadiran, MCA berjaya menarik lebih 600 hadirin dengan lebih separuh daripada yang hadir memakai pakaian rasmi parti untuk mendengar ceramah termasuk daripada presiden parti, Wee Ka Siong, timbalan presiden Mah Hang Soon dan ketua pemuda Nicole Wong.

Jumlah hadirin di tapak program PH lebih kecil, iaitu kira-kira 300 hadirin meskipun menampilkan nama-nama pemimpin utama PH seperti pemimpin vetran DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir.

Sebuah lagi ceramah PH yang berlangsung berasingan terletak kira-kira 25 minit perjalanan di Pontian pula dihadiri 100 penyokong mereka.

Suasana yang dirasai di ceramah itu juga sedikit berbeza dengan hadirin di ceramah MCA kali ini lebih bertenaga.

Hal itu jelas dapat dilihat apabila calon BN Wee Jeck Seng hadir ke tapak ceramah dan dia dikerumuni sekelompok besar penyokong sehingga dia perlu mengambil masa sehingga 10 minit sebelum naik ke pentas.

Di tapak program PH pula, penyokong yang hadir dilihat tidak begitu teruja berbanding di tapak ceramah BN.

Walaupun ada segelintir penyokong yang dilihat bersemangat dengan ceramah, namun ucapan dari pemimpin utama seperti Lim Kit Siang juga dilihat tidak begitu menaikkan semangat mereka kali ini, berbeza dengan ucapannya sebelum ini yang sering disambut dengan sorakan dan persetujuan daripada penyokong yang hadir.

Salah satu cara Kit Siang menarik sorakan daripada penyokongnya sebelum ini adalah dengan melaungkan "shi bu shi" (yang bermaksud "betul atau tidak?") selama beberapa kali juga gagal untuk menaikkan semangat penyokong yang hadir semalam.

Bagaimanapun, ceramah tersebut bertukar menjadi sedikit gamat apabila Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan Lim Guan Eng mengambil tempat untuk menyampaikan ceramah mereka.

Salahuddin menerima tepukan gemuruh apabila beliau menekankan Malaysia adalah milik rakyat Malaysia dan politik di negara ini tidak seharusnya berlandaskan kaum dan bangsa.

"Saya tak nak cakap Wee (kaum) Cina awak Melayu. Ini bukan politik Cina Melayu, ini bukan politik 'awak Islam saya bukan Islam’.

"Ini politik baru, jaga semua agama, semua kaum dan semua kepentingan," katanya yang disambut sorakan gemuruh penyokong.

Menteri pertanian itu juga turut mengulas tentang kontroversi pengajaran Jawi di sekolah-sekolah Cina dan menegaskan kabinet telah membuat keputusan bahawa orang Muslim tidak boleh memaksa orang bukan Islam untuk mempelajarinya.

Katanya lagi, dengan kehadiran lebih ramai murid berbangsa Melayu di sekolah-sekolah Cina mereka sepatutnya diberikan peluang untuk mempelajari Jawi yang kemudiannya dipersetujui para hadirin.

Guan Eng pula menjelaskan dia memahami kebimbangan masyarakat Cina yang risau sekiranya mereka tidak boleh berkomunikasi dengan baik dengan calon PH, Karmaine Sardini sekiranya memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan.

Dia bagaimanapun menambah, sekiranya Karmaine menang kali ini, ketua DAP Johor Liew Chin Tong akan diarahkan untuk membantu wakil rakyat dari Bersatu itu.

"Jika ada sebarang masalah, Liew mempunyai talian khusus terus kepada saya, menteri kewangan," katanya.

Manakala di ceramah MCA pula, calon mereka Jeck Seng tidak putus-putus menerima sorakan daripada penyokong yang hadir ketika berucap di pentas.

Antara yang menarik perhatian ketika ceramahnya adalah apabila beliau menyindir Adun Pekan Nanas Yeo Tung Siong dari DAP.

"Sebelum PRU, Yeo menyerang saya mengatakan saya mempunyai banyak peruntukan tetapi tidak pernah memperbaiki jalan-jalan di sini.

"Dan kini di PRK, ketika semua menteri yang kita tak pernah jumpa sekarang berada di sini. Jadi manakah wangnya untuk jalan-jalan ini? Yeo harus jelaskan perkara ini," laungnya kepada penyokong.

Sebahagian kecil penyokong dilihat mula meninggalkan kawasan ceramah selepas Jeck Seng mengakhiri ucapannya dengan hadirin yang tinggal dilihat kurang berminat dengan ucapan selama sejam oleh Ka Siong.

Keadaan bagaimanapun berubah apabila Ka Siong mula menyerang DAP dalam ucapannya.

"Di hadapan Bersatu dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, DAP hanya tahu mengangguk setuju.

"Mereka memiliki 42 kerusi, tetapi tidak berani melawan Bersatu - yang mana separuh daripada mereka adalah 'katak'," katanya.

Ka Siong dalam ceramahnya juga sempat memerli Kit Siang yang disifatkannya gagal memberi komen mengenai isu Menteri Besar Perak Faizal Azumu yang dirakam meremeh-remehkan DAP sehingga PRK kali ini selesai.


Tiada ulasan: