Jumaat, 22 November 2019

Calon SPM culik, menyamun lelaki India

Nur Lela Zulkipli
 
 

PELAJAR lelaki tingkatan lima antara empat individu merancang penculikan dan menyamun lelaki warganegara India di Taman Sri Muda, Shah Alam, minggu lalu.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini atas tuduhan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya berjaya memberkas semua suspek yang berusia 17 hingga 25 tahun, hasil kepantasan pasukannya sejurus menerima laporan.

Katanya, dalam kejadian 7 pagi 14 November lalu, mangsa berusia 23 tahun bersama seorang rakannya berjalan ke tempat kerja mereka di sebuah restoran berdekatan sebelum dihampiri kereta suspek jenis Proton Saga FLX.

“Mangsa gagal melarikan diri namun, rakannya sempat dan segera meminta tolong rakan iaitu wanita Indonesia yang kemudian melaporkan kejadian kepada polis.

“Menerusi maklumat itu, sepasukan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) digerakkan mengesan suspek dan menemui kereta digunakan mereka di kawasan sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.

Baharudin berkata, pihaknya terpaksa melepaskan tiga tembakan yang mengena tayar belakang sebelah kiri kereta itu berikutan cuba memecut untuk larikan diri.

“Kenderaan suspek terbabas ke dalam longkang dan mangsa masih ada di dalam kereta ketika diselamatkan. Semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula 15 November,” katanya.

Beliau berkata, pendakwaan semua suspek mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah.

Katanya, tiga tertuduh tidak ditawarkan jaminan, namun mahkamah membenarkan jaminan ke atas suspek berusia 17 tahun berjumlah RM7,000 atas alasan dia perlu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tiada ulasan: