Selasa, 15 Oktober 2019

Penganjur debat pengaruh pelajar pemikiran liberal

ISMA WEB


Pentas debat patut bincang tajuk yang tak cetus kontroversi

BANGI – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan segera kepada penganjur Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 kerana mencabar sensitiviti agama.
Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hassan berkata, tindakan penganjur memilih tajuk perbahasan berkaitan kewajaran homoseksual dan penulisan al-Quran boleh mengundang kerosakan akidah pelajar jika ia tidak dilatari dengan kefahaman yang betul dan tepat.
“iGuru melihat usaha ini sebagai proses doktrinisasi pemikiran liberal yang boleh menggugat jati diri pelajar. Sewajarnya arena debat membincangkan tajuk-tajuk berkaitan polisi dan dasar-dasar negara yang tidak membabitkan hal yang mencetuskan polemik dan kontroversi,” katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun yakin pertandingan debat wadah untuk berhujah dan mengemukakan hujah bagi melahirkan pemimpin berkaliber dan bersemangat patriotik, Azizee berkata, ia tidak wajar menjadi pentas meracuni pemikiran pelajar dengan anasir liberalisme dan kebebasan tanpa had.
“iGuru berharap semua pihak yang terbabit perlu mengambil kira sensitiviti agama dan pihak lain demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan semua pihak,” kata beliau.
Sebelum ini, tular tangkap layar grup WhatsApp bernama IbuBapa F5 SMAPK 2017 memaparkan perbualan berkaitan isu tajuk debat berkenaan.
“Semalam telah berlangsung Debat Piala Tun Razak. Debat ini menggunakan tajuk homoseksual (topik dua dan tiga). Tajuk debat ini mengatakan bahawa Islam tidak menghalang homoseksual.
“Hal ini tidak sepatutnya berlaku dalam debat bagi pelajar sekolah. Dalam situasi ini seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang telah dipaksa menyokong tajuk tersebut. Seorang pelajar beragama Islam terpaksa mendukung tajuk menulis semula al-Quran. Apa logik di sini?” soalnya.
Menerusi tangkap layar itu juga, ia turut mendakwa perkara itu sebagai satu bentuk penindasan dalam kebebasan beragama.
Terdahulu, juri bagi pertandingan melalui satu kenyataan memohon maaf kepada pihak terbabit terhadap apa yang berlaku.
Sehingga kini, masih tiada komen daripada pihak Kementerian Pendidikan mengenai perkara itu.


Tiada ulasan: