Isnin, 14 Oktober 2019

Menteri: Hanya sekolah tahfiz berdaftar layak terima peruntukan Belanjawan 2020

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.
 
KUALA LUMPUR: Semua institusi tahfiz yang belum berdaftar dengan majlis agama negeri masing-masing diingatkan supaya berbuat demikian sekiranya mahu menerima peruntukan dana daripada kerajaan persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata, hanya sekolah tahfiz berdaftar sahaja yang layak menerima manfaat daripada peruntukan sebanyak RM25 juta yang disediakan dalam belanjawan negara yang diumumkan Jumaat lepas.

Tambahnya, kementerian akan sentiasa berkerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengesahkan senarai nama sekolah tahfiz yang sudah berdaftar di negeri masing-masing.

“Sebab apa penting (berdaftar)? Kita boleh memantau aktiviti, kegiatan kokurikulum dan apa yang mereka buat.

“Ini adalah untuk pastikan sekolah mengikuti piawaian dan idea kita tentang sekolah pondok,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen, hari ini.

Pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng Jumaat lalu mengumumkan beberapa peruntukan melibatkan pendidikan Islam, antaranya sekolah agama bantuan kerajaan RM50 juta, sekolah tahfiz RM50 juta, sekolah agama rakyat dan sekolah agama persendirian RM25 juta, sekolah pondok yang berdaftar RM25 juta.

Dalam pada itu, Mujahid memaklumkan tiada maklumat terkini mengenai statistik sekolah tahfiz dan sekolah pondok yang tidak berdaftar.

Bagaimanapun katanya, terdapat 1,040 buah tahfiz yang sudah berdaftar, manakala 200 buah sekolah pondok berdaftar sehingga kini di seluruh negara.

Tiada ulasan: