Ahad, 6 Oktober 2019

Kg Baru perlu dibangunkan kerana seperti ‘kudis’ di tengah bandar, kata PM





SHAH ALAM: Dr Mahathir Mohamad berkata, sebuah agensi kerajaan akan membangunkan tanah di Kampung Baru yang disifatkannya kudis di tengah bandar Kuala Lumpur.

“Kampung Baru tak jual tanah dan tinggalkan kampung.

“Mereka tak jual kepada orang lain, tetapi dijual kepada satu agensi kerajaan yang akan bangunkan Kampung Baru seperti sedia kala,” katanya pada sidang media di Kongres Maruah Melayu hari ini.

Perdana menteri berkata, agensi kerajaan itu akan membantu pemilik tanah membangunkan Kampung Baru tanpa mengabaikan ciri asal lokasi terbabit.

“Tanah Kampung Baru dulu berstatus tanah rizab pertanian Melayu.

“Waktu ini, tidak boleh buat pertanian di situ kerana tak ada wang yang cukup nak bangunkan Kampung Baru. Ia nampak macam kudis di tengah bandaraya Kuala Lumpur yang membangun pesat dengan bangunan pencakar langit.

“Kita lihat ada rumah lama berbumbung zink berkarat dan ini tak mencerminkan kedudukan orang Melayu yang berjaya macam orang lain.”

Rabu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menerima kira-kira 700 hingga 800 borang daripada penduduk Kampung Baru berhubung pembangunan semula kawasan itu dengan kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju tawaran RM850 sekaki persegi.

Tetapi, Jumaat lalu, Khalid berkata, 90 peratus yang dimaksudkan itu adalah pemilik yang bersetuju menjual tanah mereka dan menerima Projek Pembangunan Kampung Baru, tetapi mahukan harga lebih tinggi.

Tiada ulasan: