Rabu, 9 Oktober 2019

BMF: ‘Kita tolong orang bukan Islam hingga mereka jadi kaya’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Takwa bukan saja pada ibadah tapi membantu sesama muslim: Mufti


JERANTUT– “Kekuatan kita ialah mengajak umat Islam supaya bertakwa kepada Allah. Takwa yang perlu diambil perhatian bukan sahaja pada ibadah, tetapi takwa ialah bersatu dalam tolong-menolong antara kita,” tegas Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.

Beliau dalam ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Kempen Beli Produk Muslim di Pahang, hari ini berkata, Allah SWT menyuruh manusia hidup dalam ketakwaan, bersatu meningkatkan hubungan khususnya hal berkaitan ekonomi. 

“Kalau tiada usaha membantu sesama Islam kita akan lemah dan akan dihina. Azab daripada Allah bukan sahaja azab kita ditekan secara fizikal, tetapi azab yang lagi utama ialah kita dihina, itulah lebih sakitnya daripada kita dipukul. Inilah yang kita tak sedar.

“Kita tengok misalnya 60 tahun dulu ada kedai orang Cina, pembelinya keseluruhan orang dia. Ada juga kedai Melayu di sebelah, tetapi tidak disokong. Akhirnya kedai Melayu tutup, kedai mereka semakin besar. Sehingga sekarang mereka dapat bina gedung besar. Mereka tanya kini orang Melayu ada apa? Cuba tengok bangunan-bangunan di bandar siapa punya, orang Cina punya. 

“Begitulah hinanya kita sebab kita tidak bersatu. Alhamdulillah hari ini kita nampak satu usaha yang baik yang dijalankan oleh UMMAH. Mudah-mudahan mereka terus maju berjuang. Kita telah bertoleransi lama sangat, kita bagi pertolongan kepada bukan Islam sampai mereka kaya, tetapi mereka mengenepikan kita,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana orang Melayu adalah majoriti di negara ini.

“Kita tak boleh berubah, melainkan kita sendiri yang berubah. Kita bukan boikot, tetapi mengutamakan produk orang Islam. Tiada sebab orang bukan Islam gusar dengan kempen ini,” katanya.

Sementara itu, dari segi hubungan dengan orang bukan Islam pula, tiada masalah untuk berkongsi ruang ekonomi, katanya.

“Tetapi jangan sampai mereka menguasai, kerana kita yang menentukan hala tuju negara. 

“Kita kena mengutamakan ukhwah sesama kita, kerana kita nak menjaga agama kita, nak menjaga harta kita, supaya harta boleh dizakatkan, nak jaga akhlak kita supaya jangan berlaku penguasaan oleh orang lain,” katanya.


Tiada ulasan: