Rabu, 11 September 2019

Tutup IPG: Sandiwara atau ada kerja belakangkan menteri?

ainulillia 

 

Pendedahan cadangan tutup 21 IPG serius, canggah Akta Pendidikan

BANGI– Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik patut mengambil tindakan terhadap pihak yang mendakwa Institut Pendidikan Guru (IPG) akan ditutup secara berperingkat, sekiranya cadangan berkenaan langsung tiada dalam rancangan kementerian.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pendedahan mengenai cadangan penutupan 21 IPG mulai tahun depan adalah serius kerana bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Akta berkenaan, hanya memberikan kuasa kepada menteri atau kelulusan daripadanya untuk menubuhkan dan menyenggara suatu maktab pendidikan guru, katanya.

“Adakah menteri tidak mengetahui langsung mengenai ‘Perbincangan Khas Bagi Memperhalusi Cadangan Akhir Rasionalisasi Agensi Bil. 4/2019 dengan Ketua Setiausaha Negara’ yang di dalamnya dikemukakan cadangan berkenaan?

“Apakah kapasiti Rektor IPGM, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam perbincangan itu? Kenapa KPPM mengesahkan – seperti yang dilaporkan Berita Harian (BH) – bahawa adanya perbincangan dan cadangan tersebut, sedangkan menteri sejak sebelum itu lagi ada memaklumkan bahawa IPG tidak akan ditutup?

“Jadi, adakah sebenarnya menteri yang bersandiwara atau memang ada kerja-kerja membelakangkan menteri dalam hal ini?,” soal Khairuddin dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan muka depan akhbar Berita Harian semalam menyiarkan dakwaan terdapat cadangan 21 daripada 27 IPG akan ditutup secara berperingkat bermula tahun depan dan tahun ini adalah pengambilan terakhir pelajar IPG.

Bagaimanapun, Maszlee menafikan dan menegaskan ianya sama sekali tidak berkait dan langsung tidak merujuk kepada dasar kerajaan pada masa ini.

Beliau mendakwa, cadangan berkenaan adalah keputusan kerajaan lama dan meminta mana-mana pihak yang ingin mengeluarkan kenyataan berkaitan status IPG untuk merujuk kepada kementerian terlebih dulu.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid pula membidas Maszlee apabila menuduh syor penutupan 21 IPG adalah disebabkan mengikut polisi kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN).

Mahdzir dalam satu hantaran di Facebook menegaskan, kerajaan BN tidak menutup sebaliknya menukar fungsi beberapa IPG.

“Macam mana Dr Maszlee Malik boleh sebut polisi kerajaan terdahulu nak tutup 21 IPG daripada 27 IPG. Keputusan dibuat oleh kerajaan BN yang lalu hanya 11 IPG akan bertukar fungsi kepada Kolej Vokasional, Politeknik dan Permata Pintar.

“IPG tidak pernah ditutup tetapi bertukar fungsi itu pun melibatkan hanya 11 IPG,” katanya yang juga bekas Menteri Pendidikan.


Tiada ulasan: