Jumaat, 13 September 2019

Tertuduh menjerit ketika tombol pintu bilik dipecahkan, kata saksi

MAALYAIAKINI

   

Seorang pengawal keselamatan hari ini memberitahu Mahkamah TinggiShah Alam, Samirah Muzaffar, tertuduh pertama kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, menjerit ketika tombol pintu bilik yang terbakar di rumahnya berjaya dibuka.

Saksi keempat pendakwaan itu, Raju Kumar Pandit, 31, bagaimanapun berkata beliau tidak mengetahui punca Samirah berkelakuan demikian.

Beliau berkata ketika kejadian, beliau sedang melakukan rondaan menggunakan motosikal di taman perumahan berkenaan kira-kira 12 tengah hari, 14 Jun 2018, sebelum menerima panggilan dari pondok pengawal yang memaklumkan bahawa terdapat kejadian kebakaran di salah sebuah rumah di kawasan itu.

Raju Kumar berkata ketika tiba di rumah itu, Samirah berada di tempat letak kereta dalam keadaan menangis dan ketakutan.

Beliau kemudian segera naik ke tingkat atas dan menuju ke arah bilik yang berasap kerana Samirah memberitahu suaminya (Nazrin) masih berada di dalam bilik.

"Saya cuba membuka (pintu) bilik dengan menendang tetapi tidak berjaya.Saya kemudian meminta kunci daripada Samirah tetapi dia beritahu tidak ada kunci itu, kemudian saya meminta penukul tetapi Samirah berkata dia tidak memiliki penukul, kemudian jiran Samirah memberikan sebatang besi untuk digunakan bagi membuka pintu bilik.

“Bila saya berjaya buka tombol kunci, saya dengar wanita itu menjerit tetapi tidak pasti kenapa, sama ada terkena besi yang saya guna atau sebab lain.

"Ketika itu, pintu bilik itu belum dibuka. Hanya tombol yang pecah," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dalam perbicaraan kes pembunuhan Nazrin di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Raju Kumar yang merupakan ketua pengawal keselamatan di taman perumahan itu berkata walaupun beliau berjaya memecahkan tombol pintu berkenaan, pintu bilik berkenaan masih tidak dapat dibuka dan beliau kemudian bertindak menendang pintu itu sehingga terbuka.

Apabila pintu terbuka, kelihatan api dan bilik berkenaan dipenuhi asap menyebabkan beliau tidak dapat masuk ke dalam bilik itu sebelum diarahkan keluar oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang tiba kemudiannya.

Samirah, 44, bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Prosiding perbicaraan itu disambung Jumaat depan.- Bernama


Tiada ulasan: