Pelakon popular, Sharnaaz Ahmad, dan isterinya, Noor Nabila hari ini diperintah supaya melantik wakil jawatankuasa pendamai (JKP) dalam kes perceraian mereka.
Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Ahmad Muttaqi Ismail memerintahkan Sharnaaz - atau nama sebenarya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 34, - dan Noor Nabila Mohd Noor, 34, berbuat demikian selepas pelakon itu tidak bersetuju dengan tuntutan cerai isterinya.
Noor Nabila selaku plaintif memfailkan permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 pada 27 Ogos lepas.
Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Ditanya hakim lagi adakah dia setuju dengan tuntutan yang dikemukakan isterinya, pelakon itu menjawab: “tidak setuju”.
Noor Nabila dalam tuntutan itu antaranya mengemukakan alasan tiada persefahaman dan mereka tinggal berasingan sejak Februari 2018 serta Sharnaaz memberi nafkah zahir yang tidak mencukupi iaitu hanya RM500 sebulan walaupun mampu untuk memberi lebih daripada itu.
Wanita itu yang berpakaian serba hitam dalam tuntutannya juga berkata langkah-langkah telah diambil untuk mencapai perdamaian termasuk perbincangan namun gagal menemui jalan penyelesaian.
Katanya Sharnaaz selaku defendan berterusan dengan sikapnya serta terdapat perbincangan melalui keluarga bagaimanapun ianya juga tidak berjaya.
Peguam yang mewakili Noor Nabila, Azmi Mohd Rais, kemudian memohon supaya pihak defendan mengemukakan alasan (tidak bersetuju) kerana dalam media sosialnya defendan menyatakan sebaliknya.
Bagaimanapun Ahmad Muttaqi berkata defendan tidak perlu berbuat demikian kerana mahkamah sudah bertanyakan hal itu kepada Sharnaaz dan mahkamah menetapkan 30 Sept untuk kedua-dua pihak melantik wakil JKP mereka.
Sharnaaz dan Noor Nabila - yang merupakan kakak kepada pengacara dan pelakon, Neelofa - mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak, Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia setahun.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan