Khamis, 12 September 2019

Pemuda Umno, PAS sama-sama hantar 2,000 wakil ke PWTC


   

Lebih 2,000 anggota Pemuda Umno dan PAS Kelantan akan mengambil bahagian dalam Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor, berkata pihaknya mengerahkan supaya setiap bahagian menghantar 100 peserta bagi memeriahkan acara bersejarah tersebut.

"Pemuda Umno Kelantan bersemangat ke PWTC demi ummah.

"Dalam membina negara bangsa yang berjaya, penyatuan dan perpaduan bangsa amat ditagih.
 
"Menjadi kewajipan setiap rakyat Malaysia untuk menyokong apa jua agenda untuk mengukuhkan keharmonian kaum dan menepis agenda liberal, subversif dan komunisme yang didukung oleh pihak-pihak tertentu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Noor Hariri menambah, Pemuda Umno Kelantan memang amat menyokong HPU dan ia dianggap manifestasi orang Melayu yang sangat mendambakan perpaduan yang didakwanya sekian lama dinafikan.

Katanya, parti komponen BN - seperti MCA dan MIC - tidak bimbang dengan agenda penyatuan ummah kerana tahu Melayu dan orang Islam perlu bersatu bagi menyelamatkan negara ini daripada terus hanyut di bawah kerajaan PH.

Sebagai tekanan pada PH
 
PWTC akan menjadi saksi bersejarah pada Sabtu ini apabila presiden Umno dan PAS akan menandatangani piagam bersama selepas berpuluh tahun menjadi seteru politik.

Bagaimanapun untuk rekod ia bukanlah peristiwa pertama kali Umno dan PAS bekerjasama. PAS pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan pada 1973.

Justeru dalam pilihan raya umum (PRU) setahun kemudian PAS bertanding tanpa menggunakan simbol sendiri sebaliknya bernaung di bawah simbol dacing yang mewakili BN.

Sementara Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah, berkata pihaknya turut menghantar rombongan lebih 1,000 peserta ke PWTC termasuk membabitkan semua exco Pemuda negeri.

"Matlamat kita ialah mewujudkan gelombang kebangkitan rakyat khususnya orang muda untuk menolak kerajaan PH dan menyatukan semua rakyat khususnya orang Melayu demi Islam.

"Kita juga mahu memberi isyarat kepada PH supaya tidak melampaui batas terutamanya apabila melibatkan bumiputera dan hal ehwal Islam.

"Selain itu sebagai tekanan supaya PH menunaikan janji dalam menifesto PRU14 dan membersihkan pentadbiran daripada pengaruh politik," jelasnya ketika dihubungi.

Tambah Mohd Ariff, himpunan itu juga sebagai persediaan untuk berhadapan dengan PRU ke-15 yang boleh terjadi bila-bila masa.


Tiada ulasan: