Isnin, 16 September 2019

Kit Siang risau perpaduan UMNO-Pas buat keadaan negara huru-hara

Kasthuri Jeevendran
MGF28052019_MESYUARAT-KAUKUS-REFORMASI_14
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Seperti kebiasaannya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan menuding jari terlebih dahulu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam apa sahaja perkara yang berlaku termasuk perpaduan ummah antara UMNO-Pas yang termetrai semalam.

Kit Siang yang juga merupakan Ahli Parlimen Iskandar Putri mendakwa Najib yang juga merupakan Penasihat Barisan Nasional (BN) pastinya memberikan sokongan kepada perpaduan bagi memberikan laluan mudah kepadanya, apatah lagi ketika dirinya terpalit dengan label ‘kleptrokrasi’ pada masa ini.

Malah, Kit Siang juga menyamakan UMNO-Pas sebagai ‘kleptokrasi’ kerana perpaduan ummah ini sebenarnya lebih rela mendiamkan diri berhubung isu penyewelengan yang didakwa olehnya, sekali gus gagal menjadi sebuah kerajaan yang baik pada masa hadapan.

Kit Siang yang menulis dalam blognya pagi ini juga melahirkan rasa bimbang yang tidak berbelah bahagi dengan penyatuan dua parti gergasi Muslim dengan membayangkan keadaan huru hara bakal menimpa negara tidak lama lagi.

“Bayangkan apakah yang akan berlaku selepas ini? Politik toksik mengaitkan agama dan bangsa akan meningkat ke satu tahap yang tidak pernah langsung di lihat dalam dunia politik Malaysia.

“Bayangkan kumpulan ‘cybertroppers’ dengan media sosial akan mula dipenuhi dengan pelbagai dusta, kebencian, kepalsuan, menjatuhkan agama serta kepercayaan satu sama lain, peradaban tamadun dan sebagainya. Ini yang akan berlaku selepas ini,” katanya sebentar tadi.

Kit Siang juga menyalahkan dan membidas MIC dan MCA kerana memberikan restu perpaduan antara UMNO-Pas kerana padanya kedua-dua parti berasaskan kaum itu sebenarnya mempunyai ‘agenda’.

“Mengapa sebelum ini MCA beria-ia dan mengugut akan meninggalkan komponen BN seandainya Pas di terima masuk? Kini boleh berikan restu kepada kerajaan kleptokrasi seperti ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kit Siang yang juga bapa kepada Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga memberikan amaran kepada kerajaan PH tidak melakukan apa yang sedang dilakukan oleh UMNO-Pas.

Sebaliknya kata beliau, daripada cuba menentang pengundi menyokong kepimpinan Pas-UMNO, adalah jauh lebih baik supaya 5.5 juta pengundi pelbagai latar belakang itu supaya dimenangi hati mereka.

“Sebaliknya, PH perlu melaksanakan agenda ‘Malaysia Baharu’ dan memenangi hati 2.5 juta pengundi yang pernah menyokong UMNO dan dua juta pengundi yang menyokong Pas pada pilihan raya umum pada 9 Mei tahun lepas.

“Sekiranya kerajaan PH mampu melaksanakan ini dengan juga berpandukan dengan janji manifesto pada pilihan raya lepas, perikatan antara Pas-UMNO ini goyah dan putus sebelum PRU-15 kelak,” tegasnya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: