Sabtu, 7 September 2019

Kerajaan perlu bertindak segera pulih ekonomi negara

Mohd Zaini Samsu Hadi
WhatsApp-Image-2019-09-06-at-4
Tengku Razaleigh (empat dari kiri) bergambar kenangan selepas mengadakan perbincangan dengan DPIM berhubung masalah yang dihadapi anak muda ketika ini


KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk memulih ekonomi tanah air sebelum keadaan menjadi lebih parah pada tahun depan.

Pesanan itu diutarakan pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang memberitahu, rakyat paling terkesan dengan kemelesetan ekonomi kerana kos sara hidup terus meningkat dan peluang pekerjaan makin mengecil.

“Keamanan dan kestabilan ekonomi negara adalah keutamaan terpenting bagi menjaga keharmonian di dalam negara kita,” katanya dalam pertemuan dengan Dewan Pemuda Ikatan Bangsa Malaysa (DPIM) hari ini.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, DPIM mengambil nasihat Ahli Parlimen Gua Musang itu untuk mencari solusi terbaik kepada anak muda berkenaan isu-isu penting yang melibatkan mereka seperti belia miskin di bandar dan belia tertindas di luar bandar.

Bagi tujuan itu katanya, DPIM bersetuju untuk terus memperkukuhkan dan membina hubungan permuafakatan bersama blok pembangkang, terutama Pemuda UMNO, MCA dan MIC yang merangkumi pelbagai kaum atas semangat Bangsa Malaysia yang sebenar demi membina negara Malaysia yang bersatu-padu, adil dan saksama, serta masyarakat yang bahagia.

Katanya, hubungan politik bersama Pemuda Pas terus menjadi tunjang dan dasar permuafakatan di dalam Gagasan Sejahtera.

Tambah beliau, menerusi pertemuan dengan bekas menteri kewangan yang juga Penasihat UMNO, beliau turut menasihatkan agar golongan profesional muda melibatkan diri dalam politik untuk memacu pembangunan dan ekonomi negara.

“DPIM berharap anak muda terus bersama-sama kami dalam mengemudi cabaran anak muda pada era Pakatan Harapan hari ini.

“Sememangnya dasar-dasar kerajaan hari ini terus menekan dan menindas anak-anak muda, walhal anak muda inilah yang bakal meneruskan legasi Malaysia pada masa hadapan.

“DPIM sekali lagi menzahirkan ucapan terima kasih di atas kesudian Tengku Razaleigh sebagai seorang negarawan ulung yang meluangkan masa berbincang dan memberi nasihat berkaitan cabaran anak muda pada hari ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: