Ahad, 8 September 2019

Kempen boikot sentuh isu kaum bukan dari UMMAH

fazleen safina  

 

Ada cybertrooper cuba ganggu, sabotaj kempen beli produk muslim

BANGI – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) sekali lagi menegaskan kempen beli produk muslim atau Buy Muslim’s First (BMF) bukan usaha untuk memboikot mahupun menentang mana-mana peniaga kaum dan agama lain.

Pengerusi UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya berkata, walaupun sudah berulang kali dijelaskan tujuan kempen itu, namun masih ada hantaran dan poster di media sosial yang cuba membangkitkan isu kaum dengan mengaitkan usaha berkenaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas lambakan poster dan hantaran yang tular di media sosial mengaitkan kempen BMF dengan gesaan pengguna memboikot produk keluaran bukan Islam.

Menerusi carian Ismaweb.net, beberapa laman Facebook giat menjalankan kempen boikot terhadap barangan Cina dan parti tamak haloba, DAP dengan hantaran yang berbentuk sentimen kaum.

“Jika ada mana-mana laporan dalam media yang memetik hantaran-hantaran media sosial yang membangkitkan isu kaum, itu bukan dari UMMAH mahupun pendukung-pendukung kempen ini.

“Saya yakin mereka hanya cybertrooper yang cuba untuk menganggu dan mensabotaj kempen kita,” kata Aminuddin dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara itu juga adalah satu pengajaran kepada pihak kerajaan supaya tidak cepat melatah dan melontarkan kenyataan negatif yang akhirnya menyebabkan reaksi tidak baik daripada pihak tertentu.

“Nasihat saya kepada rakyat, ayuh kita teruskan usaha murni ini dan jangan patah semangat. Insyaallah akan kebaikannya akan dirasai oleh semua rakyat. Teruskan berkempen,” katanya.

Sejak beberapa minggu lalu, kempen yang dilancarkan UMMAH dan Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) khusus untuk masyarakat Islam di negara ini, menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan pihak tertentu.

Bukan hanya dikritik dan ditentang oleh DAP, usaha berkenaan turut ditolak Kabinet Pakatan Harapan (PH) – yang turut dianggotai pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR – yang menganggap tindakan itu sebagai boikot dan tidak wajar.


Tiada ulasan: