Putrajaya, Indonesia perlu cari jalan kurangkan titik panas di Kalimantan
KUCHING– Tarikh paling awal untuk melakukan operasi pembenihan awan di Sarawak
adalah pada Khamis ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas
Uggah Embas.
Beliau berkata, operasi pembenihan awan
bertujuan mengurangkan kesan jerebu terutamanya di kawasan Kuching dan
Sri Aman, bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan cuaca.
“Berdasarkan arah tiupan angin dan
ramalan cuaca, itulah waktu paling awal. Ia juga bergantung kepada
terdapatnya awan sama ada ia meliputi kawasan yang terjejas,” katanya
kepada media pada majlis jamuan teh bersempena sambutan Hari Keputeraan
rasmi Yang di-Pertuan Agong, di Serian hari ini.
Sementara itu, Uggah berkata, Sarawak
turut merayu kepada kerajaan Persekutuan supaya menteri yang berkenaan
berbincang dengan Indonesia untuk mencari jalan bagi mengurangkan titik
panas di kawasan Kalimantan.
“Di Kalimantan sahaja, terdapat lebih 600
titik panas yang dikesan dan Kuala Lumpur mesti berunding dengan
Jakarta bagaimana untuk menyelesaikan isu ini,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan