Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan
Perumahan (Reach), Iskandar Abdul Samad mengingatkan Zuraida Kamaruddin
supaya memainkan peranannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan
Tempatan untuk rakyat Malaysia dan bukannya untuk warga Hong Kong dan
China.
Iskandar berpendapat langkah tersebut secara tidak langsung menyisihkan pembeli tempatan dan akan menyebabkan pemaju menaikkan harga rumah di negara ini.
“Oleh itu, Reach mengingatkan Menteri Perumahan bahawa beliau adalah Menteri Perumahan Malaysia dan bukan Menteri Perumahan Hong Kong atau negara China. Selesaikan masalah rakyat Malaysia dan bukan rakyat negara lain.
“Memandangkan pembeli dari negara luar memiliki keupayaan kewangan yang lebih maka akhirnya pembeli tempatan akan ketinggalan. Pembelian rumah-rumah tersebut akan dimonopoli oleh pembeli luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin Malaysiakini melaporkan, Zuraida mencadangkan agar kempen pemilikan rumah
(HOC) digerakkan bagi menarik pembeli dari luar negara - seperti China
dan Hong Kong - untuk menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual di
negara ini.
Namun, katanya perkara itu masih belum diputuskan dan akan dirujuk ke kabinet serta dibincangkan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi.
'Budaya hidup warga asing berbeza'
Iskandar yang juga bekas exco Selangor dan naib presiden PAS juga menggesa Zuraida mempertimbangkan cadangan tersebut dan sebaliknya menambah baik program-program perumahan rakyat sedia ada.
“Walaupun rumah-rumah yang terlibat merupakan rumah-rumah bernilai tinggi namun kebanjiran rakyat Hong Kong dan negara China ke negara ini akan merubah komposisi masyarakat di bandar-bandar besar.
“Budaya dan cara hidup warga asing yang berbeza boleh menggugat stabiliti dan keharmonian masyarakat.
“Hari ini kita menghadapi masalah dengan warga asing yang sedia ada maka tidak perlu ditambah kumpulan yang baru,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan