Sabtu, 7 September 2019

Hapus skim pencen: Cuepacs mahu mekanisme lantikan baru dibincang

Presiden Cuepacs Azih Muda berkata, skim pencen sedia ada 
adalah terbaik kepada negara dan bertepatan dengan perlembagaan.
 
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap perundingan akan terus berlaku antara kerajaan dengan kongres berhubung mekanisme lantikan baru dalam perkhidmatan awam sekiranya kerajaan berhasrat memansuhkan skim pencen.

Presidennya Azih Muda berkata, ini bagi memastikan masa depan penjawat awam tidak menjadi pertikaian pada masa hadapan.

“Cuepacs amat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Borhan Dolah) untuk tidak lagi mengambil kakitangan tetap dan berpencen menjelang 2020.

“Sekiranya cadangan ini dilaksanakan, Cuepacs berpandangan masa depan anak muda untuk berkhidmat dengan kerajaan tidak lagi menjadi keutamaan kerana khidmat negara ini adalah sesuatu yang amat penting kepada tegaknya sesebuah kerajaan dan utuhnya pentadbiran kerajaan dan negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Borhan pada Rabu berkata, mulai tahun depan, lantikan baru dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Skim lantikan kontrak baru itu, yang kini sedang diperhalusi, dikatakan bakal menawarkan gaji lebih menarik serta kebajikan, perlindungan dan jaminan yang lebih baik.

Menurut Azih, Cuepacs mendengar dan menyokong Malaysia menjadi sebuah negara kaya yang mampan dan beranggapan tonggak kekuatan negara yang berpaksikan perkhidmatan awam perlu terus dipertahankan.

“Tetapi sekiranya kerajaan tidak lagi mengambil pekerja tetap dan berpencen apakah yang akan berlaku kepada kekuatan tonggak ini?” soalnya.

Beliau turut membangkitkan persoalan nasib pekerja kerajaan untuk memiliki kehidupan lebih baik, termasuk pemilikan rumah, aset dan pendidikan anak-anak.

Sehubungan itu, Cuepacs berpandangan skim pencen yang ada sekarang adalah terbaik kepada negara dan bertepatan dengan perlembagaan, tegas Azih.

Tiada ulasan: